46 warga asing ditahan, sembilan pusat judi dalam talian diserbu

SEBANYAK sembilan premis yang dipercayai dijadikan pusat panggilan perjudian dalam talian diserbu polis dalam Op Dadu Khas di sekitar ibu negara sejak semalam, membawa kepada penahanan 46 warga asing.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, semua individu yang ditahan dipercayai terbabit dalam operasi pusat panggilan perjudian dalam talian dan turut disiasat atas kesalahan imigresen.

“Siasatan awal mendapati kesemua yang ditahan mengaku membabitkan diri dalam penganjuran aktiviti perjudian dalam talian yang menyasarkan pelanggan dari China, Korea dan Filipina,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kegiatan berkenaan dipercayai mula beroperasi antara satu hingga tiga bulan lalu, dengan individu terbabit menerima gaji bulanan antara RM2,000 hingga RM3,500.

Dalam serbuan itu, kata beliau, polis turut merampas wang tunai RM23,000 serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan berkenaan.

“Antara barang yang dirampas termasuk 24 unit komputer riba, 71 telefon pelbagai jenis, 10 modem WiFi, 12 monitor, tiga kad akses, satu penghala (router), empat unit komputer meja (desktop), tiga papan kekunci, lima pengecas, lima tetikus dan tiga set kunci.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) dan Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya sambil menambah kesemua 46 suspek dibawa ke hadapan Majistret bagi permohonan reman.

Daripada jumlah itu, 11 individu dikenakan tahanan reman selama tiga hari sehingga esok, seorang selama sehari sehingga hari ini dan 22 lagi direman empat hari sehingga 5 Oktober.

Baki 12 suspek pula, katanya, direman selama 14 hari bermula 1 hingga 15 Oktober bagi membantu siasatan.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya menjauhi sebarang bentuk perjudian dan sentiasa waspada terhadap penipuan yang menggunakan modus operandi pusat panggilan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan perjudian atau penipuan boleh menghubungi hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here