230kg minyak masak subsidi disorok dalam timbunan sampah

TAKTIK sebuah restoran makanan Arab menyembunyikan 230 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi dalam plastik hitam bersama timbunan sampah terbongkar selepas premis itu diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka di Bukit Baru, hari ini.

Dalam serbuan kira-kira jam 1.30 petang itu, minyak masak peket pelbagai jenama bernilai anggaran RM575 ditemukan di tingkat tiga premis yang dipercayai turut dijadikan tempat tinggal pekerja.

Pengarah KPDN Melaka, Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata, minyak masak berkenaan diletakkan bersama beberapa bungkusan sampah kering dipercayai bagi mengelakkan ia dikesan pihak berkuasa.

Serbuan itu dilakukan lima anggota penguat kuasa selepas risikan selama tiga minggu susulan aduan diterima daripada orang awam.

“Siasatan awal mendapati bekalan minyak masak bersubsidi itu dipercayai diperoleh dari luar Melaka menerusi tempahan yang dibuat cawangan restoran berkenaan.

“Pada mulanya pihak restoran itu memaklumkan tempahan dibuat cawangan ibu pejabat, namun semakan lanjut sebenarnya tempahan itu dilakukan restoran berlokasi di Melaka,” katanya, lapor Harian Metro.

Menurut Mohd Hazimin, bekalan terbabit dipercayai dihantar bersama barangan kering lain menggunakan perkhidmatan kurier.

Kaedah berkenaan disyaki digunakan bagi mengaburi pihak berkuasa dan mengelakkan kegiatan berkenaan daripada dikesan.

Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah bagi tujuan melakukan kesalahan.

“Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama,” katanya.

Dalam pada itu, KPDN Melaka memberi peringatan kepada individu dan syarikat supaya tidak menyalahgunakan, menyeleweng atau menjalankan urusan berkaitan barang kawalan tanpa permit dan lesen yang sah.

Mohd Hazimin berkata, tindakan penguatkuasaan menerusi Op Tiris 4.0 Bersepadu akan terus dipertingkatkan bagi membanteras ketirisan subsidi kerajaan.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here