SESI persekolahan bagi tahun 2027 akan bermula pada 4 Januari depan, membabitkan sekolah kebangsaan dan sekolah bantuan kerajaan di seluruh negara.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sesi akademik bagi sekolah di negeri Kumpulan A akan berlangsung dari 4 Januari hingga 2 Disember 2027.
Kumpulan A membabitkan Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala negeri dalam Kumpulan B akan meneruskan sesi persekolahan sehingga 3 Disember 2027.
Negeri Kumpulan B terdiri daripada Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, selain Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Dalam pada itu, KPM turut menetapkan jadual cuti perayaan bagi sesi akademik berkenaan yang meliputi sambutan Hari Raya Puasa, Tahun Baharu Cina, Hari Deepavali, Hari Raya Korban, Pesta Kaamatan, Hari Gawai Dayak, Hari Wesak dan Hari Krismas.
“Semua sekolah hendaklah mematuhi peruntukan cuti tambahan oleh KPM sempena perayaan utama bagi sambutan Hari Raya Puasa, Tahun Baharu Cina, Hari Raya Korban, Hari Wesak dan Hari Deepavali. Peruntukan cuti tambahan berkenaan tidak perlu diganti.
“Kementerian juga menetapkan tarikh pembukaan sesi persekolahan tahun 2028 akan bermula pada 3 Januari 2028 bagi Kumpulan A dan Kumpulan B,” kata kenyataan kementerian itu hari ini.
KPM berkata, penetapan berkenaan turut dibuat bagi menyeragamkan tarikh pembukaan sesi persekolahan 2028 di seluruh negara.
Langkah itu juga dijangka membantu pihak sekolah membuat persediaan dari segi pengurusan pentadbiran serta menyusun pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan lebih teratur dan berkesan.





