Bersatu patut cari punca bukan cakap soal bayar RM10 juta

PENULIS tersenyum apabila membaca kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz yang mengingatkan wakil rakyat meninggalkan parti itu supaya mengosongkan kerusi dan membayar RM10 juta kepada parti.

Beliau mengingatkan mereka terhadap baiah dan sumpah yang dilafazkan mereka ketika dipilih sebagai calon pilihan raya.

‘’ “Jika meninggalkan parti atau bertukar ke parti lain, maka akan dilaknat Allah, Rasul dan orang yang beriman, segala perbelanjaan menggunakan elaun ahli dewan tersebut adalah haram,” katanya dalam catatan Facebook.

‘Naik bulu roma’ juga penulis bila dengar amaran tersebut. Maklumlah RM10 juta bukan sikit,lepas itu ‘paling ngeri’ adalah ‘dilaknat Allah, rasul dan orang beriman’.

Tak apalah mungkin itu cara Bersatu mahu mengelakkan wakil rakyatnya melompat parti tetapi persoalannya adakah amaran itu akan menguntungkan Bersatu? Sepatutnya tumpuan Bersatu adalah mencari punca kenapa mereka mahu meninggalkan parti tersebut bukannya terus menggunakan kaedah yang akan melemahkan parti itu.

Mungkin ketika ini disebabkan baiah atau bimbang gugur kedudukan secara automatik, Ahli Parlimen dan ADUN  Bersatu yang berhasrat meninggalkan parti itu akan menangguhkan hasrat mereka sehingga penggal berakhir.

Penulis tahu ramai dalam kalangan mereka yang digantung  tidak akan bersama Bersatu selepas ini. Tetapi bukannya bersara sebaliknya akan bersama parti lain dalam PRU 16. Atas sebab itulah penulis acap kali mengingatkan Bersatu tumpukan usaha memulihkan semula parti itu yang sedang berkeceramuk dan mengembalikan kekuatannya.

PRN Melaka di ambang pintu dan PRU-16 tidak lama lagi, adakah Bersatu betul-betul berupaya untuk memastikan calon-calon boleh menang dan menamatkan badi hilang deposit seperti mana berlaku di Johor dan Negeri Sembilan?

Apa kekuatan dan kelebihan Bersatu berbanding dengan parti lain waima dengan Amanah, Bersama dan Wawasan sekalipun? Kalau mahu dibandingkan dengan Pas lagi lah…bagaikan ‘bumi dengan langit’. Sepatutnya itulah yang diberi tumpuan oleh  Bersatu bukannya  soal baiah dan bayar RM10 juta. Tak kan Bersatu mahu masuk ke gelanggang pilihan raya dengan bergantung kepada parti lain?

Dulu bolehlah ada Pas tetapi sekarang Pas pun sudah memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu. Mahu bekerjasama dengan PH pulak, DAP awal-awal lagi tak setuju sebab dah langgar garis merah. Jadi penulis berpendapat adalah wajar jika Bersatu tidak sertai PRN Melaka. Lebih baik Bersatu susun semula parti tersebut sebagai persediaan menghadapi PRU-16.

 Tidak bertanding bukannya bererti mengaku kalah, tetapi sekurang-kurangnya Bersatu dapat ‘memulihkan huru-hara’ dalam parti itu daripada masuk bertanding pasti kalah!

Kesimpulannya peringatan baiah RM10 juta tak akan menguntungkan Bersatu malah akan menyebabkan parti tersebut semakin ditinggalkan oleh pemimpin berkualiti. Paling malang, rakyat khususnya orang Melayu tidak melihat apa faedahnya mereka menyokong Bersatu, nak kata kukuh pun tidak, nak kata berpengaruh jauh sekali.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here