Adik OKU hilang kawalan, abang kerap minta duit maut dipukul

TINDAKAN seorang abang yang dipercayai kerap meminta wang daripada keluarga dikatakan menjadi punca adiknya hilang kawalan sebelum menyerang mangsa hingga maut di Kampung Banggol Tasek, Bukit Payong di Marang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa berusia 43 tahun meninggal dunia di lokasi selepas dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul oleh adik kandungnya yang berusia 42 tahun.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, siasatan mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa yang didakwa sering meminta wang daripada keluarga.

Menurutnya, suspek yang merupakan orang kurang upaya (OKU) mental dan menerima rawatan di Hospital Sultan Nur Zahirah (HSNZ) dipercayai sudah lama memendam kemarahan terhadap abangnya.

“Mangsa juga mempunyai rekod berkaitan kes narkotik. Suspek berasa tidak puas hati dengan abangnya yang dikatakan kerap meminta wang, sebelum hilang kawalan dan bertindak menyerang mangsa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di Kuala Terengganu hari ini, lapor Sinar Harian.

Dalam kejadian sama, adik perempuan mereka yang berusia 36 tahun turut cedera parah selepas cuba meleraikan pergaduhan antara kedua-dua beradik itu.

“Mangsa wanita mengalami luka di bahagian belakang kepala, patah ibu jari kanan serta luka pada limpa sebelah kiri berdasarkan imbasan CT scan dan kini dirawat di HSNZ,” katanya.

Mohd Khairi berkata, suspek berjaya ditahan polis di tepi jalan Bandar Bukit Payong tidak lama selepas kejadian.

Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Terengganu turut hadir ke lokasi dan merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

“Permohonan reman terhadap suspek dibuat hari ini (Ahad) bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa serta tidak menjejaskan proses siasatan yang sedang dijalankan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here