Penceramah motivasi disiasat dakwaan gangguan seksual dilepaskan dengan jaminan polis

SEORANG penceramah motivasi yang disiasat berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap mangsa bawah umur dilepaskan dengan jaminan polis selepas tempoh tahanan remannya berakhir hari ini.

Ketua Polis Perlis, Deputi Komisioner Hamzah Hashim berkata, suspek akan dibebaskan petang ini selepas semua prosedur berkaitan tahanan reman selesai.

DEPUTI Komisioner Hamzah Hashim

“Penceramah motivasi itu tamat tempoh reman hari ini dan diberi jaminan polis.

“Dia akan dilepaskan petang ini selepas selesai prosedur reman berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor BH.

Semalam, suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Kangar bagi proses permohonan perintah reman oleh pihak polis.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Mohd Amiruldin Roslan, membenarkan permohonan polis untuk menahan lelaki terbabit selama dua hari bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, beberapa wanita tampil di media sosial mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual dan manipulasi oleh penceramah berstatus suami orang berkenaan.

Berdasarkan dakwaan yang tular, suspek dipercayai mendekati mangsa melalui aplikasi TikTok atas alasan berkaitan urusan kerja atau pelajaran sebelum didakwa mengajak mereka menjadi ‘sugar baby’ serta mendaftar masuk ke hotel.

Siasatan polis masih dijalankan bagi menentukan kesahihan dakwaan serta fakta sebenar berhubung kes berkenaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here