Rakan temukan Irene Sofiya berlumuran darah selepas curiga tidak hadir kelas

SEORANG rakan kepada Allahyarham Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, menemukan pelajar Tingkatan Empat itu dalam keadaan berlumuran darah di dalam dewan sekolah selepas berasa tidak sedap hati apabila mendapati mangsa tidak hadir ke kelas tambahan walaupun motosikalnya masih berada di kawasan sekolah.

Rakannya yang hanya dikenali sebagai Rina, 16, berkata, dia kemudian cuba menghubungi Irene Sofiya sebanyak tiga kali, namun panggilannya tidak dijawab sebelum pergi ke rumah nenek mangsa untuk memastikan sama ada rakannya itu sudah pulang.

Katanya, selepas mendapati Irene Sofiya tiada di rumah, Rina kembali ke sekolah dan mengajak beberapa rakan lain mencarinya.

Menurutnya, ketika mencari, dia menyedari pintu dewan sekolah terbuka sedangkan kebiasaannya pintu berkenaan sentiasa tertutup.

“Jadi saya rasa tidak sedap hati dan ajak dua lagi rakan untuk tengok ke dalam dewan.

“Mula-mula nampak dari jauh, nampak kaki dia. Lepas itu kami datang dekat dan terus jerit panggil pengawal keselamatan dan cikgu,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga mangsa, lapor Bernama.

Rina berkata, penemuan itu menjadi pengalaman yang amat sukar dilupakan, lebih-lebih lagi apabila dia dan rakan-rakan sebenarnya sedang merancang untuk meluangkan masa bersama Irene Sofiya selepas peperiksaan.

Katanya, mereka lazimnya mengadakan staycation setiap tahun pada Disember, selain meraikan ulang tahun kelahiran Irene Sofiya dan dua lagi rakan dalam kumpulan mereka.

“Setiap tahun, memang kami buat staycation. Tahun ini pun tengah rancang, selepas peperiksaan memang nak buat.

“Dia teruja sangat sebab kami nak bersolek, bersiap sama-sama dan sambut hari jadi sekali,” katanya.

Selain staycation, mereka turut merancang untuk keluar beramai-ramai ke sebuah rangkaian kedai kopi tempatan sebagai ganjaran kepada diri sendiri selepas selesai peperiksaan.

Bagaimanapun, semua perancangan itu tidak kesampaian selepas Irene Sofiya meninggal dunia dalam kejadian di sekolah berkenaan.

Rina menyifatkan Irene Sofiya sebagai seorang pelajar pintar, lemah lembut dan tidak banyak bercakap, selain disenangi oleh rakan-rakan.

Seorang lagi rakan mangsa, Syiha, berkata, Irene Sofiya merupakan seorang yang mudah tersenyum dan aktif dalam pergerakan Puteri Islam.

Menurutnya, Irene Sofiya juga sering diberikan kepercayaan untuk menjadi pengacara dalam majlis yang diadakan di sekolah.

Terdahulu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang juga rakan sekelas mangsa direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kematian Irene Sofiya.

Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dalam dewan sekolah, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, suspek ditahan kira-kira jam 7 malam di sekitar Yong Peng, kira-kira sejam selepas polis menerima maklumat berhubung kejadian daripada orang awam pada kira-kira jam 5.50 petang.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here