SEBANYAK 10 buah kenderaan terbakar di kawasan parkir bawah tanah sebuah pusat beli-belah di Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru petang tadi mengakibatkan tiga wanita mengalami sesak nafas akibat kejadian itu.
Kebakaran yang berlaku di tingkat dua bawah tanah pusat beli-belah itu turut menyebabkan asap hitam tebal keluar dari kawasan premis sebelum pengunjung diarahkan keluar dan berkumpul di luar bangunan.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan 1 Suffian Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.40 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin tiba di lokasi enam minit kemudian.
Menurutnya, operasi turut membabitkan anggota dari BBP Tebrau, BBP Kempas dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Mount Austin dengan kekuatan keseluruhan 40 anggota.
“Lapan buah kenderaan didapati terbakar antara 80 hingga 90 peratus, manakala dua lagi terbakar kira-kira 20 hingga 30 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba menggunakan dua aliran sepanjang 300 kaki daripada sistem pencegah kebakaran bangunan dan pam jentera bagi mengawal kebakaran.
Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati sistem pencegah kebakaran serta kipas ekzos di kawasan berkenaan tidak berfungsi.
Dalam kejadian itu, tiga wanita dilaporkan mengalami sesak nafas, manakala seorang lelaki dewasa tidak mengalami kecederaan.
“Ketiga-tiga wanita itu diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba sebelum seorang wanita berusia 48 tahun dihantar ke hospital menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Larkin.
“Kesemua wanita terbabit masing-masing berusia 48 dan 35 tahun serta seorang warga Singapura berusia 57 tahun,” katanya.
Suffian berkata, anggota bomba turut melakukan pemeriksaan di seluruh kawasan bagi memastikan tiada mangsa lain terperangkap.
Operasi pemadaman dan pemeriksaan masih dijalankan.
Rakaman video memaparkan asap hitam tebal keluar dari kawasan parkir bawah tanah pusat beli-belah itu tular di media sosial.
Pengunjung kemudian dilihat keluar dan berkumpul di luar bangunan sebagai langkah keselamatan.





