Penjual air didenda RM1,200 pukul lelaki kerana dipaksa beli tebu

SEORANG penjual air didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan seorang lelaki kerana berang dipaksa membeli tebu.

Majistret Mustaqim Sukarno menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Nor Haizan Nordin, 42, selepas mengambil kira pengakuan bersalah, rayuan tertuduh serta hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh yang masih bujang kemudian membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang penanam tebu berusia 39 tahun dengan memukul kepala mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di halaman sebuah rumah di Jalan Limau Nipis, Yong Peng, dekat Batu Pahat, pada jam 7.30 malam, 5 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, mangsa datang ke rumah tertuduh untuk menjual tebu kepadanya.

Tertuduh kemudian memberitahu tidak mahu membeli tebu berkenaan kerana bekalannya masih mencukupi.

Bagaimanapun, mangsa terus memaksa tertuduh membeli tebu sehingga menyebabkan tertuduh berang sebelum memukul mangsa di kepala.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shahzleen Ibrahim, manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here