Remaja maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika lari dari polis

SEORANG remaja lelaki berusia 18 tahun ditemukan maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis di sebuah premis di kawasan Perindustrian Nounton, Inanam, Kota Kinabalu, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi selepas orang awam melaporkan kehadiran tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan di sekitar Lorong Langsat, Jalan Inanam.

Menurutnya, sepasukan anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) dari Balai Polis Inanam digerakkan ke lokasi sebelum mengesan tiga lelaki berkenaan di tepi jalan berhampiran sebuah premis perniagaan kira-kira jam 4.10 pagi.

Bagaimanapun, katanya, ketiga-tiga lelaki itu melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis.

“Seorang daripada mereka melarikan diri dengan memasuki kawasan premis berpagar, manakala dua lagi bertindak memanjat bumbung zink sebuah bangunan berhampiran.

“Ketika cuba melarikan diri melalui kawasan bumbung berkenaan, seorang daripada lelaki terbabit, berusia 18 tahun, dipercayai terkena renjatan elektrik sebelum ditemukan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Buletin TV3.

Beliau berkata, pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) mengesahkan kematian mangsa pada jam 7.40 pagi.

Pemeriksaan awal pada tubuh mangsa menemukan kesan kecederaan pada tangan kanan dan paha kanan yang dipercayai berkaitan dengan renjatan elektrik.

Menurutnya, setakat pemeriksaan awal, tiada kecederaan lain atau petunjuk yang menunjukkan unsur jenayah berkaitan kematian mangsa.

Bagaimanapun, bedah siasat akan dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian.

Dua lagi lelaki yang melarikan diri berjaya ditahan polis dan dibawa ke Balai Polis Inanam bagi membantu siasatan lanjut.

Shahrudin berkata, siasatan menyeluruh masih dijalankan bagi mengenal pasti kronologi serta keadaan sebenar kejadian, selain menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi sementara siasatan berlangsung.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here