Ragbi COBRA 10’s perkenal saingan Wanita dan Veteran

SAINGAN  Ragbi 10 Sebelah COBRA menyingkap lembaran baharu sejarah penganjurannya apabila memperkenalkan dua kategori baharu, Wanita dan Veteran bagi edisi ke-53 pada 1 hingga 2 November ini di Padang Astaka Majlis Bandar Raya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor.

Presiden Persatuan Ragbi Gabungan Bekas Pelajar (COBRA), Darryll Sinnappa berkata, penambahan kategori ini pada kejohanan yang diasaskan pada 1967, menggambarkan komitmen penganjur kepada keterangkuman, kepelbagaian dan penyertaan berterusan dalam sukan ini.

“Bagi kategori Utama, COBRA 10’s menampilkan 12 pasukan elit dari tujuh negara antaranya POM Harlequins (Papua New Guinea), NTK Rugby (Afrika Selatan), Koko Samoa (Samoa), Pakuranga Rugby Club dan Hautapu SSC (New Zealand) serta Penguin Rugby (United Kingdom).

“Turut mahu membanggakan Malaysia dengan semangat juang hebat mereka ialah tuan rumah COBRA, KL Tigers, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Tsunami, MBPJ Knights, Royal Town Warriors Klang dan Kelab Ragbi Alumni Shah (KRAS),” katanya dalam sidang media di Rumah Kelab COBRA, Petaling Jaya, hari ini.

 

DARRYLL Sinnappa (tengah) bersama dua pegawai kanan COBRA dalam sidang media pengumuman Ragbi COBRA 10’s, 2025 di Petaling Jaya.

Enam pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan katanya, masing-masing akan bermain lima perlawanan dengan dua yang teratas, mara ke separuh akhir Cup manakala penghuni tempat ketiga dan keempat bakal berentap bagi Plate dan kelima-keenam akan merebut Bowl.

“Saingan kategori Wanita pula disertai lima pasukan tempatan antaranya seperti COBRA Venom, KL Tigers, Jaguar Rugby Club dan Sumandak Sabah yang akan bermain secara liga sepusingan sebelum empat yang teratas, memasuki separuh akhir seterusnya perlawanan akhir.

“Bagi kategori Veteran (40 tahun ke atas) dengan lima pasukan pesertanya seperti COBRA Legends, Asas Rugby Club dan KKB Great Walls turut berentap dalam format liga sepusingan sebelum hanya dua yang teratas, akan kembali bersaing bagi kejuaraannya,” kata Darryll.

Kepelbagaian dalam ragbi sentiasa menjadi elemen penting bagi COBRA justeru katanya, kategori Wanita dan Veteran ditambah kali ini apatah lagi saingannya didapati semakin menarik minat penyertaan dan sambutan penonton.

“Kami sentiasa mengutamakan kualiti padang pertandingan ini memandangkan kehadiran pasukan-pasukan antarabangsa malah prestij kejohanan yang diperkenalkan pada 1967 selain hubungan rapat legasi COBRA dengan kelab-kelab luar negara.

“COBRA 10’s masih mampu menarik kehadiran kelab-kelab Australia, New Zealand dan Afrika Selatan ke Petaling Jaya kerana ramai pemain handalan mereka pada November ini sudah berada di luar musim pertandingan di sana.

“Sebelum ini COBRA agak sukar mendapat penyertaan kelab-kelab tempatan kerana ada yang khuatir kecederaan menimpa pemain-pemain mereka apabila bertembung dengan pasukan-pasukan jemputan antarabangsa tetapi tahun ini, enam wakil Malaysia tetap sanggup beraksi,” katanya.

Ujar Darryll, COBRA menyedari pengenalan hadiah kemenangan wang tunai mungkin mampu meluaskan penyertaan kelab-kelab antarabangsa namun dalam keadaan penganjur tidak menawarkannya seperti sekarang pun, mereka tetap mahu hadir memeriahkan saingan.


 

UNDILAH

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img