BEKAS Menteri Besar Negeri Sembila, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan, ketiadaan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Negeri Sembilan menjejaskan urusan pelaburan dan perniagaan yang memerlukan kelulusan kerajaan negeri.
Katanya, kerajaan negeri tidak dapat berfungsi seperti biasa hampir dua bulan selepas mengambil alih pentadbiran, dengan keputusan penting berkaitan dasar serta kelulusan masih tertangguh.
“Bagaimana hendak melaksanakan tugas-tugas ini tanpa exco? Pelabur menanti, pengusaha menanti, penjual yang menjual rumah, yang menjual kedai, yang menjual apa lagi? Yang perlukan kelulusan MMKN terpaksa tangguh, tangguh dan tangguh. Jadi, ini menggagalkan usaha negeri untuk terus berkembang.
“Pelabur mulai curiga. Ini menjadi satu perkara yang patut kerajaan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional fikirkan, bukan hanya memikirkan kepentingan mereka,” katanya berucap pada Konvensyen DAP Negeri Sembilan di Seremban hari ini, lapor FMT.
Negeri Sembilan tiada exco sejak 20 September lalu, selepas semua 10 ahli MMKN dilucutkan jawatan kerana melanggar sumpah jawatan mereka.
Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) kesal kerana kerajaan negeri pimpinannya kehilangan kuasa walaupun mencatatkan pelbagai kejayaan, sambil menyalahkan serangan terhadap DAP serta eksploitasi isu perkauman oleh BN dan PN.
Beliau menggesa PH Negeri Sembilan memperkukuhkan gabungan itu dan berusaha mengekalkan kerusi Parlimen sedia ada serta memenangi lebih banyak kerusi pada PRU16.
Katanya, PH perlu menyasarkan kerusi Parlimen Tampin, Kuala Pilah dan Rembau.
“Tak apa kita tewas. Rakyat Negeri Sembilan sedang melihat apa yang berlaku dan saya yakin mereka dapat menilai siapa yang boleh menjalankan tugas dan siapa yang hanya pandai bercakap besar, tetapi gagal memikul tanggungjawab.
“Kita masih ada masa. Teruskan usaha dan pastikan kita dapat memenangi PRU akan datang serta menambah bilangan kerusi,’’ katanya.





