
HARI ini Perikatan Nasional (PN) gagal mendapatkan perintah penangguhan sementara terhadap notis Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang menggantung semua kegiatan gabungan itu sehingga permohonan semakan kehakiman didengar dan diputuskan.
Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azizan Md Arshad menetapkan 22 Oktober bagi mendengar permohonan PN untuk penggantungan inter-parte atau secara dua pihak, membabitkan notis sama.
Dalam prosiding tersebut juga, beliau membenarkan gabungan parti memulakan semakan kehakiman bagi mencabar perkara itu.
Penulis tidak berhasrat membuat andaian apa yang akan berlaku selepas ini dalam proses mahkamah tersebut tetapi apa yang mahu diperkatakan ialah bagaimana sebuah gabungan yang hanya mempunyai enam parti boleh ‘kacau bilau’ menyebabkan kegiatannya digantung.
Cuba perhatikan fakta ini PN mempunyai enam parti iaitu Pas, Wawasan, Bersatu, Gerakan, MIPP dan Pejuang. Segala kemelut bermula apabila Pas mengambil alih teraju kepimpinan PN setelah Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr.Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi PN menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan.
Sejak penggantian itu, PN sudah tidak tenteram lagi satu demi satu isu tercetus sehingga akhirnya Pas membuat keputusan memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu. Keadaan lebih parah apabila Pas menerima Wawasan sebagai komponen PN dan ia dikatakan menimbulkan perasaan tidak puas hati Bersatu.
Bersatu mendakwa, kepimpinan PN melakukan lapan pelanggaran ia termasuklah meminggirkan Bersatu daripada mesyuarat, wujud ‘kuasa veto’ keputusan MT PN dan kenyataan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa keanggotaan Bersatu dalam PN gugur secara automatik.
Hakikatnya banyak lagi isu yang berlaku tidak perlu penulis menyenaraikan semuanya kerana persoalan lebih besar mahu diketengahkan ialah, kalau beginilah keadaannya adakah rakyat boleh menaruh harapan kepada PN untuk memerintah negara?
Malang sekali, pemimpin-pemimpin PN begitu bijak mengkritik dasar dan tindakan yang dilakukan kerajaan seolah-olah mereka mampu memerintah lebih baik, tetapi kalau dalam gabungan sendiripun berantakan, bagaimana mahu menguruskan rakyat dan negara?
Penulis tidak kata kerajaan sedia ada sempurna tetapi sekurang-kurangnya dalam Pakatan Harapan (PH) tidak ada pergolakan sehingga terpaksa mengadu kepada RoS. Begitu juga dari segi hubungan Barisan Nasioanal (BN) dengan PH, walaupun ada sedikit sebanyak perbezaan ia tidak sampai menggugat kestabilan politik dan pentadbiran negara.
Tetapi bagaimana dengan PN? Memang benar segala keributan yang berlaku berpunca daripada Bersatu yang semua orang tahu kecewa kerana Muhyiddin tidak lagi menjadi Pengerusi sekaligus menutup peluang untuk menjadi Perdana Menteri (PM) sekali lagi, semua orang tahu Bersatu tidak puashati apabila Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang dipecat oleh parti itu dan kemudiannya menubuhkan parti Wawasan diterima sebagai komponen PN.
‘Lebih panas lagi’ Hamzah disebut-sebut bakal calon PM daripada PN bukannya Ahmad Samsuri apatah lagi Muhyiddin. Dan lebih menarik lagi timbul pula persoalan, kalau PN menang dalam PRU-16 nanti, adakah Pas akan memberi laluan kepada Hamzah menjadi PM sedangkan itulah peluang terbaik Pas melahirkan pemimpin pertamanya untuk menjadi PM?
Sudah sampai gosip ke telinga penulis bahawa Pas tidak akan memberi laluan mudah kepada Wawasan untuk bertanding di kerusi milik Pas yang sebelum ini diberikan kepada Bersatu. Malah ada ‘bisikan-bisikan’ yang memberitahu penulis, Pas tidak akan benarkan Wawasan dominan dalam PN.
Penulis tidak terkejut kerana sebelum ini pun Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sudah memberi isyarat berhubung perkara itu.
“Kita akan tentukan kerusi mana yang ada potensi boleh menang. Kita jangan lepas dah kerusi itu kepada sesiapa pun. Kerusi yang kita boleh menang, kita beri kepada orang. Kerusi yang hendak kalah, kita ambil. Itu yang dikatakan ikhlas dengan bodoh. Ikhlas dan bodoh ini jaraknya sangat dekat senipis kulit bawang,” katanya ketika menyampaikan penggulungan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS ke-72, di Kota Bharu baru-baru ini.
Apa yang penulis mahu sampaikan kemelut dalam PN bukan sekadar soal tindakan Bersatu membuat laporan kepada RoS tetapi selepas ini banyak lagi pergolakan akan berlaku dalam PN, walaupun ditakdirkan Bersatu meninggalkan gabungan berkenaan. Riak-riak awal akan dapat dilihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi. Sekarangpun sudah ada apabila tumpuan kerjasama lebih ditekankan antara Pas dan UMNO manakala Wawasan bagaikan terpinggir.
Kesimpulannya, isu PN dengan RoS hanya permulaan, ia akan menjadi bertambah parah apabila menjelang PRN Melaka dan PRU16 nanti..sama-samalah kita tunggu. Kepada semua pemimpin PN selesaikan dahulu masalah dalaman gabungan itu sebaik-baiknya ‘janganlah nanti asyik menuding kain orang lain terkoyak sedangkan kain sendiri sudah terlondeh’.





