MALAYSIA berpotensi memperluas peranannya dalam rantaian bekalan aeroangkasa dunia apabila industri penerbangan global dijangka memerlukan lebih 40,000 pesawat komersial baharu dalam tempoh dua dekad akan datang, berbanding kira-kira 35,000 pesawat yang membentuk armada global ketika ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, unjuran oleh pengeluar pesawat terkemuka dunia, Boeing dan Airbus menyediakan ruang pertumbuhan yang luas kepada syarikat tempatan khususnya dalam pengeluaran komponen pesawat serta sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).
Menurut beliau, Malaysia perlu memanfaatkan permintaan tersebut dengan memberi tumpuan kepada segmen industri yang sepadan dengan keupayaan tempatan, selain membina keyakinan pengeluar antarabangsa terhadap mutu dan kebolehpercayaan bekalan dari negara ini.
“Apabila kita berupaya memenuhi keperluan Airbus dan Boeing, peluang dalam rantaian bekalan ini amat besar. Malaysia perlu mengenal pasti segmen yang sesuai dengan kemampuan kita serta memastikan syarikat yang mendapatkan komponen atau bekalan dari negara ini yakin terhadap keupayaan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di luar Persidangan Kepimpinan Strategik MAIA 2026 anjuran Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA) di ibu negara hari ini, lapor Buletin TV3.
Johari berkata, pematuhan terhadap piawaian antarabangsa merupakan antara prasyarat penting bagi membolehkan syarikat Malaysia diterima sebagai pembekal kepada pemain utama industri aeroangkasa global.
Katanya, usaha meningkatkan daya saing sektor itu juga perlu disokong oleh kemajuan teknologi, pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi, amalan kemampanan serta persekitaran politik yang stabil.
Dalam pada itu, rantau Asia-Pasifik dijangka menjadi antara pemacu utama pertumbuhan industri penerbangan, dengan hampir separuh daripada permintaan global bagi pesawat penumpang baharu diunjurkan datang dari rantau berkenaan.
Malaysia mempunyai beberapa kelebihan untuk merebut peluang itu, termasuk kedudukan geografi yang strategik, ekosistem perindustrian yang telah berkembang serta keupayaan untuk menyokong keperluan pengeluar dan penyedia perkhidmatan aeroangkasa antarabangsa.
Pada 2025, industri aeroangkasa negara merekodkan hasil sebanyak RM32.5 bilion, dengan sokongan kira-kira 34,700 pekerja berkemahiran tinggi yang berkhidmat dalam lebih 300 syarikat tempatan dan antarabangsa.
Menerusi Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030, negara menyasarkan peningkatan hasil tahunan sektor itu kepada RM55.2 bilion, selain berhasrat memperkukuh kedudukan sebagai antara peneraju industri aeroangkasa di Asia Tenggara.
Aspirasi berkenaan turut selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), yang memberi tumpuan kepada peningkatan kompleksiti ekonomi, pengukuhan jaringan industri tempatan serta peluasan aktiviti pembuatan dan perkhidmatan bernilai tambah tinggi.





