Bekas pemandu e-hailing dipenjara, dera kanak-kanak, paksa makan najis

BEKAS pemandu e-hailing dihukum penjara lapan tahun enam bulan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru, hari ini, selepas mengaku bersalah mendera kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun hingga menyebabkan kematian, termasuk memaksanya memakan najis sendiri.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Abdul Fareed Abdul Gapoor menjatuhkan hukuman terhadap Chan Wen Jie, 31, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Tertuduh sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, lapor BH.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkapan pada 3 Oktober 2022, selain tertuduh perlu menandatangani bon berkelakuan baik tanpa cagaran selama tiga tahun.

Tertuduh turut diperintahkan menjalankan kerja komuniti selama 36 jam dalam tempoh tidak melebihi enam bulan.

Dalam penghakimannya, Abdul Fareed menyifatkan perbuatan memaksa mangsa, Lee See Jie, memakan najis sendiri daripada lampin pakai buang sebagai tindakan tidak bertamadun, menjatuhkan maruah dan tidak boleh dianggap sebagai kaedah mendidik.

Mahkamah turut mengambil kira rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan tertuduh melakukan pelbagai perbuatan kejam terhadap mangsa, termasuk menghentak kepala, melakukan ketuk ketampi, memaksa mangsa berdiri untuk tempoh lama serta merotan.

Menurut mahkamah, perbuatan itu melampaui hukuman fizikal biasa dan merupakan penderaan keterlaluan tanpa belas kasihan terhadap kanak-kanak berusia tiga tahun yang tidak berdaya melindungi diri.

Mahkamah berkata, tertuduh mengkhianati kepercayaan bapa mangsa yang mengamanahkannya untuk menjaga kanak-kanak itu.

Mahkamah turut menolak hujah pembelaan bahawa perbuatan berkenaan merupakan cara tertuduh mendidik mangsa, seperti yang dilakukannya terhadap anak sendiri.

“Sekiranya tertuduh tidak mampu menjaga mangsa, dia sepatutnya menyerahkan kanak-kanak itu kembali kepada bapanya,” katanya.

Mahkamah bagaimanapun tidak mengambil kira pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang ditarik balik serta punca kematian mangsa ketika menentukan hukuman bagi pertuduhan pilihan.

Selepas menimbang faktor pemberatan dan mitigasi, mahkamah memutuskan hukuman penjara lapan tahun enam bulan bersesuaian dengan kesalahan dilakukan, selain menekankan kepentingan melindungi kanak-kanak daripada penderaan.

Terdahulu, tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan membunuh Lee See Jie, tiga tahun, di sebuah rumah di Jalan Ria 2, Taman Skudai Ria, Skudai, antara jam 8 hingga 8.30 malam pada 2 Oktober 2022.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Edelynn Wong dan Nordiana Zubir, manakala tertuduh diwakili peguam Datin Freda Sabaphaty dan K. Sarawanakumar.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here