Nazir Hussin dipanggil semula ke SPRM, dakwa jadi mangsa intimidasi

BEKAS Pengerusi Yayasan Bank Rakyat (YBR), Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin dipanggil semula ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini, dipercayai berkaitan pengisytiharan harta.

Beliau yang hadir bersama dua peguamnya memasuki pekarangan bangunan suruhanjaya itu pada jam 11 pagi tadi.

Difahamkan, kehadiran beliau adalah bagi menerima notis pengisytiharan harta mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Nazir Hussin mendakwa, tindakan terhadapnya sebagai bentuk intimidasi seperti mana yang pernah dilakukan terhadap beberapa pemimpin sebelum ini.

“Dalam kes ini, saya telah direman dan disiasat, malah penyiasatan sudah tersasar jauh daripada usul saya direman. Kemudian, umum tahu bahawa duit RM10 juta tersebut tidak hilang. Jadi, dari awal SPRM telah membina naratif jahat terhadap saya, membunuh karakter saya.

“Ini betul-betul dipanggil selective prosecution, political motivated. Memang awal-awal kita nampak dengan menaik muat video TikTok penyamun itu, kita dah nampak niat jahatnya. Belum apa-apa, SPRM sendiri yang menaik muat di TikTok lagu ‘penyamun’ dari situ kita nampak naratif jahat,” dakwanya.

Dalam pada itu, Nazir Hussin turut mempersoalkan tindakan SPRM yang mempertikaikan keputusannya memilih untuk membersihkan namanya dengan memberikan penjelasan di ruangan audio siar (podcast).

“Sekarang, bila saya keluar, saya buat porgram podcast, saya cerita pada umum apa sebenarnya berlaku untuk bersihkan nama saya, dia (SPRM) marah. Bila dia marah, dia kenakan notis dibawah Seksyen 36.

“Saya nak tanya SPRM, kalau ada duit yang hilang, berpuluh-puluh juta, okeylah. Dia nak kenakan tindakan, mungkin ada berhubung kait tapi dalam kes ini, tak ada apa-apa yang hilang atau kerugian,” jelasnya.

Dakwanya lagi, perkara itu jelas mempunyai niat jahat bagi melakukan intimidasi terhadapnya kerana telah melanggar arahan agar tidak membuat kenyataan secara langsung berhubung isu yang sedang disiasat.

Tambah Nazir Hussin, bagaimanapun pihaknya telah memfailkan injunksi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam bagi mencabar notis berkenaan serta mengktitik tindakan amaran SPRM.

“Cukup-cukuplah SPRM ni dan stop buat benda zalim dekat orang dan hari ini saya tidak tolak, cuma semalam saya sudah failkan injunksi ini di mahkamah mengenai Seksyen 36.

“Saya rasa mahkamah kena melihat perkara ni lebih teliti dan kita fight benda ini di mahkamah di saluran yang lebih tinggi dan betul supaya tidak berlaku pada orang lain lagi. Bukan sekadar saya, tapi orang lain,” ujarnya.

Beliau juga mendakwa, SPRM mungkin akan menahannya semula susulan menolak notis berkenaan dan akan merujuk tindakan kerana menghalang tugasan penyiasatan.

“Jadi, pihak siasatan (IO) perlukan masa setengah jam untuk rujuk pada pihak atasan dan dia ada bacakan juga mengenai Seksyen 48 (C) Akta SPRM 2009, dia cakap kalau saya tidak terima notisitu, dia nak tangkap saya lagi,” jelasnya.

Sebelum ini, Nazir Hussin dan abangnya, Datuk Mubarak Hussain direman lima hari selepas ditahan pada 30 September lalu ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM bagi membantu siasatan penyelewengan dana yayasan.

SPRM turut menyita 15 kereta mewah bernilai kira-kira RM31 juta, 12 motosikal berkuasa tinggi bernilai kira-kira RM5 juta, lima jam tangan mewah, tiga gelang tangan serta wang tunai kira-kira RM30,000 selain turut membekukan dua akaun peribadi bernilai kira-kira RM2 juta.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here