Pergaduhan di Taman Medan Jaya bukan isu perkauman – Polis

PERGADUHAN membabitkan beberapa individu di Taman Medan Jaya, Petaling Jaya pada 9 Oktober lalu berpunca daripada ketidakpuasan hati terhadap tindakan Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB), bukannya isu perkauman.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan mendapati kejadian tercetus selepas JMB memutuskan bekalan elektrik dari kediaman kepada sebuah premis perniagaan yang dipercayai dikendalikan suspek secara tidak sah.

Beliau berkata, suspek kemudian bertemu pihak JMB untuk meminta bekalan elektrik disambungkan semula, namun permintaan itu ditolak kerana tindakan berkenaan menyalahi peraturan.

“Ekoran itu, suspek memanggil beberapa rakannya untuk melakukan konfrontasi dengan pihak JMB dan penduduk di kawasan berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Shazeli berkata, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menahan lima lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam kejadian itu.

Katanya, kesemua suspek direman sehari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Beliau berkata, polis sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan nasihat dan arahan selanjutnya.

“Jadi, tidak timbul isu perkauman dalam kejadian ini, sebaliknya ia berpunca daripada ketidakpuasan hati terhadap beberapa perkara yang telah saya nyatakan,” katanya, lapor Sinar Harian.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan tindakan JMB tidak membenarkan aktiviti yang menyalahi undang-undang sebagai wajar.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya segera membuat laporan polis sekiranya berlaku kejadian seumpama itu bagi membolehkan tindakan pantas diambil serta mengelakkan keadaan daripada menjadi lebih serius.

Shazeli juga meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat atau khabar angin berkaitan kejadian itu kepada polis bagi membolehkan isu berkenaan dicegah dan dibendung daripada mencetuskan keadaan tidak diingini.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here