SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Biro Mencegah Rasuah (BMR) Negara Brunei Darussalam memperkukuh kerjasama dalam aspek siasatan dan perisikan bagi meningkatkan keberkesanan tindakan terhadap jenayah rasuah rentas sempadan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, kerjasama erat antara kedua-dua agensi penting bagi mempertingkat perkongsian maklumat, memudahkan bantuan siasatan serta menyelaras tindakan operasi dengan lebih berkesan.

“Hubungan yang telah terjalin sekian lama perlu terus diperkukuh menerusi komunikasi yang lancar, pertukaran maklumat secara berkesan dan penyelarasan tindakan yang lebih cekap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Kumpulan Kerja Kali Ke-19 Bantuan Kerjasama SPRM dan BMR Negara Brunei Darussalam dalam Bidang Operasi Siasatan dan Perisikan serta Taklimat Operasi Bersama di sebuah hotel di Putrajaya semalam.
Yang turut hadir, Pemangku Ketua Penyiasat Khas merangkap Ketua Bahagian Special Intelligence Services (SPIN) BMR, Ahmad Fadhli DP Junaidi serta pengarah kanan dan pengarah bahagian serta negeri SPRM.
Mesyuarat anjuran Bahagian Siasatan SPRM itu menjadi medan perbincangan bagi menyelaras permohonan bantuan siasatan rentas sempadan, berkongsi maklumat operasi serta bertukar pengalaman dalam menangani kes rasuah dan jenayah berkaitan.
Antara perkara yang diketengahkan SPRM adalah pengalaman dalam usaha pemulihan aset berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selain penggunaan kaedah poligraf sebagai salah satu pendekatan dalam proses siasatan.
BMR pula berkongsi cadangan membangunkan rangka kerja kerjasama rentas sempadan bagi menangani kes suspek yang melarikan diri merentasi sempadan Malaysia-Brunei, di samping membincangkan mekanisme permohonan bantuan siasatan antara kedua-dua negara.
Ahmad Khusairi dalam pada itu berkata, perkara yang dibincangkan perlu diteliti dan diberikan perhatian sewajarnya bagi memastikan kerjasama sedia ada dapat dipertingkatkan, termasuk dalam bidang latihan serta pembangunan kapasiti pegawai.
Sementara itu, Penolong Pengarah BMR, Rahimah Hassan berharap perkongsian pengalaman dan kepakaran melalui mesyuarat berkenaan dapat memperkukuh saluran komunikasi serta memperjelas bentuk bantuan yang boleh disediakan oleh kedua-dua agensi pada masa hadapan, termasuk di Brunei Darussalam.
Menurut beliau, kerjasama berterusan itu berpotensi memberikan manfaat bersama melalui pertukaran pengetahuan, pengalaman dan kepakaran dalam menghadapi cabaran penguatkuasaan jenayah rentas sempadan.





