Sekolah di Negeri Sembilan, Melaka dan Putrajaya dibuka semula esok

SEMUA sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Negeri Sembilan, Melaka dan Putrajaya yang ditutup sebelum ini berikutan situasi jerebu, akan beroperasi semula esok dengan langkah pencegahan kesihatan terus diberi perhatian.

Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) dalam kenyataan hari ini meminta semua pihak pengurusan sekolah sentiasa memantau keadaan kualiti udara, mematuhi garis panduan ditetapkan dan mengambil langkah pencegahan yang bersesuaian demi keselamatan murid serta warga sekolah.

GAMBAR: Facebook Malaysia Mendidik

Menurut JPNS, berdasarkan Surat Siaran Bilangan 1 Tahun 2019, semua aktiviti luar bilik darjah perlu dihentikan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.

Aktiviti yang terlibat termasuk Pendidikan Jasmani, kegiatan kokurikulum dan sukan, perkhemahan, keraian, perhimpunan serta aktiviti di dewan terbuka.

Murid juga disarankan memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga, terutama mereka yang mengalami masalah atau gejala pernafasan serta individu dalam kumpulan berisiko.

Sementara itu di Melaka, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, keputusan membuka semula sekolah dibuat dengan mengambil kira perkembangan semasa kualiti udara, namun aspek kesihatan dan keselamatan murid, guru serta warga institusi pendidikan kekal sebagai keutamaan.

Beliau turut menggalakkan murid memakai pelitup muka dan minum air secukupnya bagi mengurangkan risiko kesan kesihatan akibat pencemaran udara.

Ibu bapa dan penjaga pula dinasihatkan supaya terus memantau keadaan kesihatan anak masing-masing serta mendapatkan rawatan sekiranya mereka menunjukkan gejala yang mungkin berkaitan dengan pendedahan kepada jerebu.

Dalam pada itu di Putrajaya, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan bahawa semua aktiviti luar sekolah ditangguhkan bagi melindungi kesihatan dan keselamatan murid.

Murid yang hadir ke sekolah turut digalakkan memakai pelitup muka bagi mengurangkan risiko terdedah kepada kesan pencemaran udara.

JPWPP turut memberi kelonggaran kepada ibu bapa yang bimbang tentang keadaan kesihatan anak mereka untuk tidak menghantar anak ke sekolah, dengan syarat memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here