Sumbangan pusat data kepada KDNK melonjak kepada RM14.1 bilion pada 2025

SUMBANGAN operasi pusat data di Malaysia kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat ketara kepada RM14.1 bilion pada 2025 berbanding RM900 juta pada 2021, susulan pertambahan projek yang memasuki fasa pembinaan dan operasi.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pertumbuhan itu menunjukkan kesan ekonomi yang semakin besar daripada pembangunan pusat data, termasuk aktiviti pembinaan, penggunaan utiliti serta peningkatan perolehan peralatan dan perkhidmatan daripada pembekal tempatan.

Menurut beliau, anggaran Bank Negara Malaysia menunjukkan sumbangan langsung operasi pusat data kepada KDNK meningkat dengan ketara dalam tempoh empat tahun berikutan perkembangan pesat sektor berkenaan.

“Peningkatan ini mencerminkan aktiviti ekonomi yang dijana melalui pembinaan dan operasi pusat data, perbelanjaan utiliti seperti tenaga dan air serta penggantian import apabila lebih banyak peralatan dan perkhidmatan diperoleh di peringkat tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam usaha memastikan pelaburan berkenaan turut memberi manfaat kepada ekonomi domestik, kerajaan menggalakkan sekurang-kurangnya 30 peratus kandungan tempatan digunakan dalam setiap projek pusat data.

Johari berkata, sasaran itu diselaraskan Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF), manakala pengendali pusat data perlu mengemukakan laporan pencapaian secara berkala bagi membolehkan kerajaan memantau tahap pelaksanaannya.

“Strategi lokalisasi ini akan meningkatkan penglibatan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan, membuka peluang pekerjaan dan membina keupayaan syarikat Malaysia untuk bersaing di peringkat global,” katanya.

Langkah itu juga bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap produk import, khususnya pelayan komputer (server), sistem integrasi, sistem penyejukan dan sistem elektrik.

Bagaimanapun, Johari berkata, kerajaan turut mengambil kira penggunaan sumber negara yang tinggi bagi menyokong pelaburan berskala besar dalam industri pusat data, terutama membabitkan bekalan tenaga dan air.

Sehubungan itu, kerajaan akan memastikan keperluan utiliti sektor berkenaan tidak menjejaskan bekalan sedia ada untuk kegunaan industri lain serta kawasan perumahan.

Beliau berkata, penilaian cadangan pelaburan turut dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi memastikan projek hanya dipertimbangkan di kawasan yang mempunyai kapasiti rizab serta infrastruktur utiliti mencukupi.

Pendekatan itu penting bagi memastikan pertumbuhan industri pusat data dapat menyumbang kepada ekonomi negara tanpa menjejaskan keperluan asas rakyat dan sektor ekonomi lain.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here