JENAZAH adinda kepada Sultan Terengganu, Almarhum Datuk Seri Dr Tengku Baderul Zaman Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah selamat dimakamkan di Makam Diraja Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Kuala Terengganu petang ini.
Istiadat pemakaman Almarhum yang mangkat pada usia 52 tahun disempurnakan pada jam 6.10 petang dengan penuh penghormatan.
Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke istiadat berkenaan, lapor Bernama.
Turut berangkat, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama paduka-paduka anakanda bagi menzahirkan simpati dan sokongan kepada kerabat Diraja Terengganu.
Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Mohd Nor Hamzah bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Terdahulu, jenazah Almarhum tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus pada jam 1.20 petang menggunakan pesawat khas sebelum dibawa ke Balai Islam, Istana Syarqiyyah pada jam 2 petang bagi membolehkan kerabat dan hadirin memberikan penghormatan terakhir.
Selepas selesai disolatkan di Balai Islam, jenazah dibawa ke Makam Diraja Masjid Al-Muktafi Billah Shah dan tiba pada jam 5.03 petang.
Mufti Terengganu, Prof Dr Syed Hadzrullathfi Syed Omar menyempurnakan bacaan Yasin diikuti tahlil dan doa selamat.
Almarhum Tengku Baderul Zaman mangkat pada jam 1.20 pagi tadi di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur.
Almarhum meninggalkan balu, Toh Puan Seri Wan Hidayah Wan Ismail serta tiga orang anak.





