PERDASAMA cadang MyKiosk Belia MADANI, sewa RM100 sebulan

PERSATUAN Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) mencadangkan pelaksanaan inisiatif MyKiosk Belia MADANI dengan kadar sewa RM100 sebulan bagi membantu golongan muda memulakan perniagaan.

Cadangan itu dikemukakan susulan inisiatif Kerajaan MADANI menyediakan kediaman mampu milik dengan kadar sewa RM100 sebulan bagi membantu anak muda memulakan kehidupan di Kuala Lumpur.

Presidennya, Prof Adjung Mohd Azamanizam Baharon berkata, usaha memperkasa golongan muda perlu diperluas dengan menyediakan peluang menjana pendapatan, membina perniagaan dan mengukuhkan kedudukan ekonomi mereka.

“Menerusi MyKiosk Belia MADANI, ruang perniagaan dan penjaja mampu milik khusus untuk usahawan muda dicadangkan diwujudkan di lokasi strategik yang mempunyai aliran pengunjung tinggi.

“Antara lokasi dicadangkan ialah Bukit Bintang, Dataran Merdeka, Jalan Tunku Abdul Rahman, Bandar Utama, Mont Kiara dan Bangsar, termasuk di pusat beli-belah serta ruang legar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kiosk moden dengan identiti Malaysia itu disasarkan menawarkan kadar sewa RM100 sebulan bagi membolehkan golongan muda memulakan perniagaan dengan kos lebih rendah.

Mohd Azamanizam berkata, cadangan berkenaan turut selari dengan Gerakan Usahawan Belia MADANI (BiMA) yang menjadi wadah membina jati diri, kemahiran keusahawanan dan daya tahan ekonomi dalam kalangan pelajar universiti serta belia berusia bawah 30 tahun.

Katanya, inisiatif itu juga disasarkan kepada golongan muda yang sedang belajar atau bekerja dan mahu menjana pendapatan tambahan.

“Bagi merealisasikan cadangan itu, PERDASAMA mencadangkan projek rintis dilaksanakan menerusi kerjasama strategik dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), agensi kerajaan, pengurusan pusat beli-belah dan institusi kewangan,” katanya.

Persatuan itu menurut beliau, turut menyatakan kesediaan menggerakkan 100 mentor bagi membimbing 100 usahawan muda, dengan sokongan agensi berkaitan dalam aspek latihan, pemasaran, pembiayaan dan pendigitalan perniagaan.

PERDASAMA tambah beliau, berpandangan golongan muda bukan sahaja memerlukan kediaman dengan kadar sewa berpatutan, malah peluang membina sumber pendapatan dan masa depan ekonomi yang lebih terjamin.

“Daripada kediaman mampu milik kepada perniagaan mampu mula, inilah pendekatan menyeluruh untuk melahirkan generasi muda yang berdikari, berdaya saing dan menjadi pemacu ekonomi negara,” menurutnya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here