SEORANG pekerja kedai makan yang mempunyai dua anak berdepan hukuman mati selepas didakwa mengedar lebih lima kilogram (kg) dadah jenis MDMA dan memiliki ketamin di Mahkamah Majistret di Batu Pahat, hari ini.
Lim Hon Ying, 36, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan bagi pertuduhan mengedar dadah kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor BH.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa mengedar MDMA masing-masing seberat 3,090.24 gram (g) dan 2,056.44g di sebuah rumah di Jalan Putera Indah, Taman Putera Indah, Tongkang Pecah, kira-kira jam 7.30 malam pada 13 Oktober lalu.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati.
Bagi pertuduhan ketiga, Lim didakwa memiliki ketamin seberat 51.20g di lokasi, tarikh dan waktu sama mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shahzleen Ibrahim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 23 Disember depan untuk sebutan semula kes bagi membolehkan laporan kimia diperoleh.
Mahkamah turut tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana kes berkenaan termasuk dalam kategori kesalahan yang tidak boleh dijamin mengikut Seksyen 41B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sebelum ini, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat dilaporkan menyerbu rumah yang didiami tertuduh sebelum menemui beberapa botol plastik dipercayai mengandungi dadah.





