SEORANG wanita warga Indonesia dihukum penjara 30 bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Tawau, hari ini, selepas mengaku bersalah atas kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian rakannya bulan lalu.
Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman terhadap Risna, 26, selepas tertuduh mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda, manakala hukuman penjara 30 bulan berkuat kuasa serta-merta.
Mengikut pertuduhan, suri rumah itu didakwa memandu sebuah Proton Saga secara berbahaya kepada orang awam di Batu 16, Jalan Apas, kira-kira jam 3 petang pada 26 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, lapor Harian Metro.
Dalam rayuan meringankan hukuman, peguam Jhassery P Kang yang mewakili tertuduh memohon hukuman lebih ringan dengan alasan anak guamnya tidak bekerja dan mempunyai dua anak.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee memohon hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam serta akibat perbuatan tertuduh.
Mahkamah dimaklumkan bahawa pemanduan berbahaya itu mengakibatkan kemalangan yang meragut nyawa rakan tertuduh.
Pendakwaan berkata, hukuman sewajarnya perlu dikenakan bukan sahaja bagi menghukum tertuduh, malah memberi peringatan mengenai keseriusan kesalahan memandu secara berbahaya.
Terdahulu, mahkamah turut dimaklumkan Risna didenda RM4,000 pada 9 September lalu selepas mengaku bersalah atas kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut.





