KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) menafikan dakwaan wujud cubaan menutup siasatan kes kematian Allahyarham Noorizwan Zulkefly ketika dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan kes itu kini diambil alih Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengikut peruntukan tertentu di bawah Kanun Keseksaan.
“Di pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN), kita tidak pernah kompromi terhadap pelanggaran, sekiranya ada, sekalipun membabitkan penguat kuasa undang-undang.
“Tiada sebarang usaha atau tindakan percubaan untuk menutup kes ini selepas kita mengambil alih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 bagi KDN di Dewan Rakyat hari ini, lapor Buletin TV3.
Saifuddin menegaskan pihak berkuasa tidak akan berkompromi dalam memastikan setiap kes kematian dalam tahanan disiasat mengikut prosedur yang ditetapkan.
Hari ini, keluarga Allahyarham bersama peguam dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) berarak dari Tugu Negara ke bangunan Parlimen kira-kira jam 10.30 pagi bagi menyerahkan memorandum berhubung kematian Noorizwan serta tuntutan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
Memorandum bertajuk Seruan Untuk Tindakan Parlimen Berhubung Mangsa Kematian Dalam Tahanan Polis Noorizwan dan Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) itu diserahkan oleh adik Allahyarham, Nooranis Zulkefly, bersama peguam Lawyers for Liberty (LFL), Rania Aljunied.
Memorandum berkenaan diterima Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri, Omar A Manap.





