Pengarah syarikat katering didenda RM10,000 guna perjanjian palsu mohon kuota pekerja asing

PENGARAH sebuah syarikat katering didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini selepas mengaku bersalah menggunakan dokumen perjanjian sewaan palsu bagi mendapatkan kuota pekerja asing menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK 2.0), tiga tahun lalu.

Hakim Muhammad Ilmami Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Pengarah PSSB Holdings (M) Sdn Bhd, Chua Keng Hiang, 73, yang turut diperintahkan menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara tidak jujur menggunakan sebagai tulen satu perjanjian sewaan bertarikh 1 Julai 2021 antara Goh Leong Han, 65, dengan PSSB Holdings (M) Sdn Bhd, sedangkan beliau mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen itu palsu.

Kesalahan itu dilakukan di Bahagian Pekerja Asing, Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jalan Sri Hartamas 1, Off Jalan Duta, pada 5 Julai 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, lapor Buletin TV3.

Berdasarkan fakta kes, dokumen berkenaan digunakan sebagai sokongan permohonan kuota pekerja asing bagi sebuah premis milik Leong Han di Jalan Padang Walter Grenier, Off Jalan Imbi.

Imigresen yang mempercayai dokumen itu tulen kemudian meluluskan kuota enam pekerja asing bagi sektor perkhidmatan kepada syarikat berkenaan di bawah program RTK 2.0.

Bagaimanapun, semakan lanjut mendapati dokumen itu dipalsukan selepas Leong Han menafikan pernah menandatangani atau membuat sebarang perjanjian sewaan dengan syarikat milik tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub memohon hukuman berat sebagai pengajaran dengan mengambil kira kesalahan itu berkaitan keselamatan negara, khususnya kemasukan warga asing ke Malaysia.

Peguam Michelle Tan yang mewakili tertuduh pula memohon denda lebih ringan atas alasan anak guamnya berusia lanjut dan menghidap beberapa penyakit, termasuk demensia peringkat awal, kanser prostat serta penyakit jantung.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here