PENDUDUK sekitar bandar Kluang dikejutkan dengan paparan gambar dan video lucah pada beberapa skrin diod pemancar cahaya (LED) milik Majlis Perbandaran Kluang (MPK) selepas sistem berkenaan dipercayai digodam, semalam.
MPK dalam kenyataan mengesahkan insiden pencerobohan siber itu dan memaklumkan laporan polis akan dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, siasatan sedang dilaksanakan dengan kerjasama vendor bagi mengenal pasti punca kejadian, selain melaksanakan langkah pemulihan serta memperkukuh keselamatan sistem.
“MPK memohon maaf atas segala kesulitan dan kebimbangan yang timbul dalam kalangan masyarakat Kluang susulan insiden ini.
“MPK memandang serius dan mengutuk sekeras-kerasnya kejadian berkenaan serta akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan dan memburukkan nama baik serta imej pihaknya,” menurut kenyataan itu hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.
Beliau berkata, MPK sudah mengambil tindakan segera dengan menutup semua skrin LED terbabit.
“Untuk makluman, sistem LED itu digodam dan pihak MPK sudah mengambil tindakan segera dengan menutup semua skrin LED,” katanya ketika dihubungi, lapor BH.
Terdahulu, kejadian itu tular dalam media sosial dan kumpulan WhatsApp selepas beberapa skrin LED di sekitar bandar Kluang didapati memaparkan kandungan tidak senonoh.
Antara lokasi yang dilaporkan terjejas adalah Dataran Tasik Kluang, Taman Intan serta kawasan laluan menghala ke Kahang.
Paparan berkenaan turut disaksikan beberapa penduduk yang berada di sekitar bandar dan kawasan tasik, sekali gus mencetuskan kebimbangan serta desakan supaya pihak bertanggungjawab dikenal pasti.
“Kena siasat betul-betul dan ambil tindakan terhadap mereka yang terbabit. Memang memalukan dengan status Kluang Bahagia,” kata seorang pengguna media sosial, Azman Halil.





