TIGA rakyat Malaysia yang ditahan di Kaohsiung, Taiwan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan dipercayai menjadi mangsa eksploitasi sindiket yang memaksa mereka melakukan aktiviti berkenaan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, dakwaan itu berdasarkan maklumat serta bukti yang dikemukakan keluarga individu terbabit, termasuk dakwaan mereka dipaksa mengeluarkan wang menerusi mesin juruwang automatik (ATM).
Menurutnya, keluarga turut mendakwa pasport ketiga-tiga individu itu dipegang sindiket, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kebebasan mereka untuk bertindak dan keadaan sebenar yang menyebabkan mereka terbabit dalam kegiatan berkenaan.
“Berdasarkan keterangan keluarga, mangsa dipercayai dipaksa terbabit dalam aktiviti pengeluaran wang melalui mesin juruwang automatik (ATM) di Taiwan.
“Pasport mereka juga didakwa dipegang sindiket, sekali gus menimbulkan persoalan serius mengenai kebebasan mereka untuk membuat keputusan dan keadaan sebenar yang membawa kepada penglibatan mereka dalam aktiviti itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hishamuddin berkata, MHO sudah mengadakan pertemuan rasmi dengan Kementerian Luar bagi membincangkan nasib rakyat Malaysia terbabit, selain menyelaraskan usaha membantu keluarga mereka.
Beliau berkata, dakwaan bahawa ketiga-tiga individu itu tidak bertindak secara sukarela dan tidak mempunyai niat jenayah seperti disyaki perlu diteliti secara menyeluruh bagi memastikan setiap kes dinilai berdasarkan fakta serta bukti.
“Jika terdapat unsur paksaan, penahanan pasport atau eksploitasi oleh sindiket, perkara itu perlu disiasat dengan teliti dan diambil kira dalam proses keadilan,” katanya.
Menurutnya, MHO akan bekerjasama dengan Wisma Putra dan perwakilan Malaysia di Taiwan bagi mengenal pasti saluran bantuan serta khidmat perundangan yang bersesuaian untuk keluarga individu terbabit.
Kerjasama itu penting bagi memastikan keluarga mendapat maklumat sewajarnya, selain membantu mereka meneroka langkah perundangan yang tersedia bagi membela nasib ahli keluarga masing-masing.
MHO turut berharap penyelarasan antara kerajaan, perwakilan Malaysia di Taiwan dan pihak berkaitan dapat memperjelas kedudukan setiap kes, khususnya berhubung dakwaan eksploitasi serta unsur paksaan oleh sindiket jenayah rentas sempadan.
“Keutamaan kami adalah memastikan dakwaan bahawa mereka mangsa eksploitasi disiasat secara menyeluruh dan setiap kes dinilai secara adil berdasarkan bukti serta keadaan sebenar,” katanya.
Terdahulu, media antarabangsa, Central News Agency (CNA) melaporkan, tiga lelaki rakyat Malaysia berusia 18, 26 dan 39 tahun ditahan secara berasingan di Kaohsiung kerana disyaki menjadi keldai wang kepada sindiket penipuan.
Ketiga-tiga mereka dilaporkan memasuki Taiwan menggunakan pas lawatan pelancong.





