DETIK yang sepatutnya menjadi kenangan manis buat Mohd Sani Harul pada Majlis Konvokesyen Ke-29 City University Malaysia bertukar menjadi saat penuh emosi apabila skrol Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) miliknya diterima oleh isterinya Nor Azila, di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini.
Sani, yang juga Penolong Pesuruhjaya Bomba di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), berjaya menamatkan pengajian MBA pada Januari lalu dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.76.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat menghadiri majlis berkenaan selepas dilaporkan hilang susulan kejadian runtuhan glasier dan banjir kilat di Nepal pada 28 Ogos 2026. Sehingga kini, Sani masih belum ditemukan.
Pencapaian akademik itu sekali gus menjadi bukti kesungguhan dan kecekalan beliau dalam menuntut ilmu, meskipun terpaksa membahagikan masa antara tuntutan kerjaya, tanggungjawab keluarga dan pengajian.
Sepanjang perkhidmatannya dalam JBPM, Sani turut menyimpan hasrat untuk menceburi bidang pendidikan selepas bersara dengan menjadi pendidik dan motivator.
Beliau mahu berkongsi ilmu, pengalaman profesional serta pengajaran kehidupan dengan generasi akan datang.
Menurut Nor Azila, suaminya sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa usia bukan penghalang untuk seseorang mencapai impian dan cita-cita.
Katanya, antara kata-kata yang sering ditekankan Sani ialah, “Usia bukan penghalang. Sentiasa berusaha dengan gigih, kejarlah impian dan jalani kehidupan dengan sepenuh hati.”
Prinsip itu menggambarkan keazaman Sani untuk terus meningkatkan keupayaan diri serta merebut peluang dalam setiap fasa kehidupan.
City University Malaysia dalam kenyataannya menyifatkan pencapaian Sani sebagai satu peringatan bahawa usaha menimba ilmu merupakan perjalanan sepanjang hayat yang tidak dibatasi usia, tuntutan kerjaya mahupun cabaran kehidupan.
Universiti itu turut menegaskan komitmennya untuk membuka peluang kepada individu daripada pelbagai latar belakang profesional melanjutkan pengajian, mengembangkan potensi diri dan merealisasikan aspirasi masing-masing.
City University Malaysia menawarkan lebih 80 program akademik merangkumi peringkat Asasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).
Universiti berkenaan turut memaklumkan bahawa ia memperoleh penarafan lima bintang QS, menawarkan peluang biasiswa sehingga 100 peratus serta mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 99 peratus.
Walaupun Sani tidak berpeluang menerima sendiri skrol MBA berkenaan, penyerahannya kepada Nor Azila menjadi penghargaan terhadap usaha, pengorbanan dan perjalanan akademik beliau.
Kisah Sani bukan sahaja memperlihatkan kesungguhan dalam mengejar ilmu, malah menjadi peringatan bahawa setiap impian yang diusahakan mempunyai nilai tersendiri, tanpa mengira usia dan cabaran yang terpaksa ditempuh..





