PRN Melaka: Azman beri tumpuan keperluan B40 di Paya Rumput

ISU kebajikan dan keperluan penduduk berpendapatan rendah (B40) menjadi antara fokus calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Datuk Azman Abidin dalam usahanya mendekati masyarakat setempat.

Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri berkata, keadaan Paya Rumput sebagai kawasan separa bandar dengan jumlah penduduk B40 yang ramai memerlukan pendekatan lebih dekat bagi mengenal pasti keperluan sebenar mereka.

DATUK Seri Fahmi Fadzil dan calon Pakatan Harapan DUN Paya Rumput, Datuk Azman Abidin bercakap kepada media ketika mengadakan program Ziarah Kasih di Taman Paya Rumput Permai di Melaka Tengah hari ini. GAMBAR: Ahmad Amirul Fahmi Ahmad Pauzi

Katanya, menerusi kunjungan dari rumah ke rumah, beliau berpeluang mendapatkan gambaran secara langsung mengenai kesulitan yang dihadapi penduduk, selain meneliti perkara yang memerlukan perhatian.

Menurutnya, program Ziarah Kasih bukan sekadar pengisian sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sebaliknya sudah menjadi sebahagian daripada pendekatan rutinnya mendekati masyarakat di seluruh negara.

“Ziarah Kasih ini bukan hanya untuk kempen, tetapi untuk mendekati rakyat. Ziarah Kasih memang rutin biasa saya, bukan sahaja di Melaka, sebenarnya di seluruh Malaysia.

“Kali ini oleh kerana saya bertanding sebagai calon di Paya Rumput, saya melihat setiap Ziarah Kasih yang dilakukan sebagai peluang untuk melihat apa sebenarnya keperluan dan masalah yang dihadapi penduduk,” katanya.

Beliau ditemui pada program Ziarah Kasih sempena hari pertama kempen PRN Melaka yang turut dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, di Taman Paya Rumput Permai di Melaka Tengah hari ini.

Pada program itu, Azman bersama Fahmi bertemu dan beramah mesra dengan seorang penduduk yang mengalami masalah penglihatan, Rostam Abd Ghani.

Azman berkata, beliau turut meluangkan masa mengunjungi beberapa kediaman penduduk pada sebelah pagi bagi mendengar sendiri pandangan serta memahami keadaan kehidupan masyarakat di kawasan berkenaan.

Menyentuh persaingan dalam pilihan raya kali ini, beliau berkata, setiap calon mempunyai kelebihan masing-masing dan beliau memilih untuk memberi tumpuan kepada usaha memperkenalkan diri serta mendekati seramai mungkin pengundi.

Katanya, kempen secara berhemah dengan pendekatan menyantuni masyarakat penting bagi membolehkan penduduk menilai sendiri latar belakang, pengalaman dan rekod perkhidmatannya.

“Semua calon yang bertanding itu ada kekuatan masing-masing dan saya akan usaha secara baik untuk bekerja dan menyantuni seberapa ramai pengundi di DUN Paya Rumput ini agar dapat mengenali saya.

“Saya rasa dari segi rekod sekarang ini, kita zaman media sosial, semua boleh melihat rekod saya dan pengalaman yang saya ada,” katanya.

Beliau berharap pengalaman yang dimiliki dapat dimanfaatkan untuk membantu masyarakat Paya Rumput sekiranya diberi mandat mewakili kawasan itu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here