PERSELISIHAN faham berkaitan masalah keluarga dipercayai menjadi punca pergaduhan membabitkan tiga lelaki termasuk seorang warga emas di hadapan sebuah kedai di Plentong di Johor Bahru.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, ketiga-tiga lelaki berusia antara 27 hingga 60 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.
Menurutnya, polis mengesan satu rakaman video memaparkan pergaduhan itu yang dimuat naik menerusi Facebook semalam.
“Hasil siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai hubungan kekeluargaan dan punca pergaduhan juga disebabkan masalah keluarga.
“Semakan mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 160 Kanun Keseksaan.
Katanya, ketiga-tiga suspek direman selama tiga hari sehingga 3 November ini bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, tular rakaman video berdurasi dua minit 54 saat yang memaparkan seorang warga emas dipercayai ditolak, disepak dan ditampar seorang lelaki di hadapan sebuah kedai mencuci kereta di Plentong.
Rakaman itu mengundang kecaman netizen yang rata-rata meluahkan rasa simpati terhadap mangsa selain mempersoalkan tindakan individu terbabit.





