
TERLEBIH dahulu, Sekretariat Majlis Perundingan Melayu (MPM) merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Jawatankuasa Penganjur Sidang Meja Bulat Belanjawan 2027 yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kebangsaan Merekayasa Agenda Ekonomi Bumiputera @ MPM.
Sidang ini membawa kelainan apabila menghimpunkan golongan cendekiawan daripada pelbagai pertubuhan bagi meneliti dan membahaskan draf Belanjawan 2027 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 9 Oktober lalu.
MPM mengakui terdapat pelbagai inisiatif dalam draf belanjawan yang wajar disokong. Namun, terdapat juga beberapa perkara yang menimbulkan kebimbangan, khususnya berkaitan kedudukan dan keupayaan Bumiputera dalam sektor pekerjaan serta keusahawanan.
Persoalan paling asas ialah sejauh mana kerajaan menjadikan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sebagai salah satu rujukan penting dalam merangka dasar dan peruntukan Belanjawan Tahunan.
Bagi MPM, Perkara 153 bukan sekadar peruntukan Perlembagaan yang perlu difahami dari sudut sejarah, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui dasar dan pelaksanaan yang berkesan untuk memperkukuh kedudukan serta peluang Bumiputera.
Peruntukan ini antara lain menyentuh tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah serta Sarawak, di samping kepentingan sah kaum-kaum lain.
Justeru, MPM berpandangan kerajaan perlu memastikan semangat dan tanggungjawab yang terkandung dalam Perkara 153 diterjemahkan secara lebih berkesan dalam agenda pembangunan ekonomi, pendidikan, pekerjaan dan keusahawanan Bumiputera.
Perkara 153 perlu diterjemahkan melalui dasar
MPM sebelum ini pernah mengemukakan pandangan supaya kerajaan menggubal Akta Hak dan Kesaksamaan Peluang, sebagaimana yang pernah dibincangkan dalam Mesyuarat Bersama Kerajaan-MPM pada 24 Disember 2020 di Ibu Pejabat Unit Perancang Ekonomi (EPU), yang ketika itu dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
MPM menggesa supaya ketetapan tersebut diteliti semula oleh pihak berkaitan, termasuk EPU dan kementerian yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal ekonomi, agar usaha memperkukuh peluang dan keupayaan Bumiputera mempunyai kerangka pelaksanaan yang lebih jelas.
Matlamat akhirnya bukan sekadar meningkatkan angka penyertaan Bumiputera dalam ekonomi, tetapi memastikan mereka menikmati peluang yang lebih saksama untuk meningkatkan pendapatan, membina kerjaya berkualiti dan mengembangkan perniagaan.
Kesejahteraan yang dimaksudkan bukanlah dengan mengurangkan peluang mana-mana kaum, sebaliknya memperluas keupayaan ekonomi Bumiputera supaya kemakmuran negara dapat dinikmati secara lebih seimbang.
Jurang pendapatan perlu ditangani
Realitinya, keupayaan Bumiputera dalam sektor pekerjaan dan keusahawanan masih berhadapan pelbagai cabaran. Jurang pendapatan isi rumah antara kumpulan etnik juga perlu diberikan perhatian serius.
Berdasarkan angka yang dirujuk MPM daripada data DOSM 2026, purata pendapatan isi rumah Bumiputera ialah RM8,220 sebulan, berbanding RM11,494 bagi kaum Cina. Perbezaan sebanyak RM3,274 sebulan ini menggambarkan cabaran yang masih perlu ditangani.
MPM menganggarkan jurang tersebut, jika diambil kira terhadap 6.55 juta isi rumah Bumiputera, bersamaan potensi perbezaan pendapatan agregat kira-kira RM21.44 bilion sebulan atau RM257.34 bilion setahun.
Angka ini menunjukkan betapa besarnya potensi ekonomi yang boleh digerakkan sekiranya keupayaan Bumiputera dalam pekerjaan dan perniagaan dapat dipertingkatkan.
Persoalannya, adakah Belanjawan 2027 memberikan tumpuan yang mencukupi kepada usaha membina keupayaan tersebut?
Gaji minimum RM2,000: Lihat kepada PKS
Satu lagi perkara yang perlu diteliti ialah cadangan peningkatan gaji minimum kepada RM2,000 sebulan. MPM tidak menolak kepentingan meningkatkan pendapatan pekerja. Namun, pelaksanaannya perlu mengambil kira tahap keupayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya perusahaan mikro milik Bumiputera.
Sebahagian besar perniagaan Bumiputera masih beroperasi pada skala mikro dengan modal, produktiviti dan aliran tunai yang terhad. Sekiranya peningkatan kos upah dilaksanakan tanpa persediaan dan sokongan yang mencukupi, sebahagian perniagaan mungkin berdepan tekanan kewangan, termasuk risiko mengurangkan pekerja atau menutup operasi.
Lebih membimbangkan, jika perniagaan Bumiputera gagal bertahan, pekerja yang kehilangan pekerjaan belum tentu dapat diserap dengan mudah oleh sektor swasta yang masih mempunyai jurang penyertaan Bumiputera.
Oleh itu, MPM berpandangan peningkatan gaji minimum perlu disokong dengan langkah pengupayaan yang tersusun, termasuk bantuan produktiviti, latihan kemahiran, akses pembiayaan, penggunaan teknologi dan peluasan pasaran.
Kerajaan perlu memastikan perusahaan mikro dan kecil mempunyai keupayaan untuk membayar gaji yang lebih baik tanpa menjejaskan kelangsungan perniagaan.
Hakikatnya, meningkatkan pendapatan pekerja dan memperkukuh daya tahan perniagaan tidak sepatutnya dilihat sebagai dua agenda yang bertentangan.
Belajar daripada kejayaan dasar pengupayaan
Kita wajar melihat kembali pendekatan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan selepas kemerdekaan dan ketika permulaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1970.
Antara usaha penting ketika itu ialah:
1. Pemilikan tanah dan kediaman – Membantu keluarga miskin tegar, khususnya golongan tidak bertanah, memperoleh tapak kehidupan dan sumber ekonomi.
2. Pendidikan berkualiti – Memperluas akses pendidikan kepada anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah, termasuk melalui penubuhan sekolah berasrama penuh.
3. Perkhidmatan kesihatan – Memperluas kemudahan kesihatan melalui pembukaan klinik desa bagi memastikan masyarakat luar bandar mendapat akses rawatan.
Ketiga-tiga pendekatan ini bukan sekadar memberikan bantuan jangka pendek, tetapi membina asas mobiliti sosial dan membuka peluang kepada generasi seterusnya.
Persoalannya, mengapa pendekatan pengupayaan yang bersifat menyeluruh seperti ini tidak diberikan penekanan yang lebih besar dalam dasar pembangunan semasa?
Mengapa agenda meningkatkan kemahiran, produktiviti, pendapatan dan keupayaan keusahawanan tidak dijadikan keutamaan sebelum kerajaan melaksanakan dasar yang boleh meningkatkan kos operasi perusahaan?
Daripada bantuan kepada pembinaan keupayaan
MPM percaya terdapat banyak pendekatan lain yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah selain bergantung kepada kenaikan gaji minimum.
Antaranya ialah meningkatkan kemahiran tenaga kerja, memperluas peluang pekerjaan berkualiti, menggalakkan lebih ramai ahli keluarga menjadi penyumbang pendapatan serta memadankan kelulusan dan kemahiran dengan keperluan pasaran.
Bumiputera tidak seharusnya dilihat sebagai golongan yang hanya memerlukan bantuan. Mereka mempunyai potensi untuk menjadi tenaga kerja mahir, profesional, usahawan dan peneraju industri sekiranya diberikan latihan, peluang serta sokongan yang tepat.
MPM yakin bahawa pendekatan pengupayaan yang berkesan mampu membina daya saing, daya cipta dan daya usaha yang lebih tinggi dalam kalangan Bumiputera.
Satu contoh yang wajar diketengahkan ialah kisah seorang ibu tunggal yang menjalankan perniagaan mikro di Pantai Timur.
Kisah ini dikongsikan kepada delegasi MPM oleh sebuah yayasan milik sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ketika berlangsungnya pertemuan dengan delegasi National Economic and Social Development Board, Libya.
Usahawan tersebut dikenal pasti dan dipilih untuk mengikuti program pembangunan kemahiran selama beberapa bulan. Beliau diberikan latihan oleh seorang cef berpengalaman bagi meningkatkan kemahiran menghasilkan doh berkualiti premium.
Selepas pihak yayasan berpuas hati dengan kemahirannya, beliau turut menerima bantuan pembiayaan mikro untuk mendapatkan mesin pemproses doh yang diperlukan bagi mengembangkan perniagaannya.
Hasil pendekatan itu, beliau kini berjaya mengembangkan perniagaan di negeri tempat tinggalnya tanpa perlu berhijrah ke bandar besar seperti Kuala Lumpur.
Kisah ini membuktikan bahawa bantuan kewangan semata-mata bukan penyelesaian kepada semua masalah. Sebaliknya, gabungan latihan, bimbingan, peralatan dan pembiayaan yang bersesuaian mampu mengubah kehidupan seseorang.
Inilah pendekatan yang perlu diperluas oleh agensi-agensi pengupayaan kerajaan, khususnya dalam membantu usahawan mikro dan tenaga kerja Bumiputera.
Keupayaan minimum bukan sekadar gaji minimum
Daripada kisah tersebut, satu pengajaran penting boleh diambil: perkara yang perlu diberikan perhatian bukan semata-mata paras gaji minimum, tetapi keupayaan minimum yang perlu dibina dalam kalangan pekerja dan usahawan.
Kerajaan perlu memastikan Bumiputera mempunyai kemahiran, produktiviti dan daya saing yang membolehkan mereka memperoleh pendapatan lebih baik serta mengembangkan perniagaan secara mampan.
Melalui rencana ini, MPM menyeru kerajaan supaya meneliti semula draf Belanjawan 2027 dengan memberikan penekanan lebih besar kepada agenda pengupayaan Bumiputera, sama ada dalam sektor pekerjaan mahupun keusahawanan.
Peruntukan kewangan perlu disertai sasaran yang jelas, petunjuk prestasi yang boleh diukur dan mekanisme pemantauan supaya setiap program benar-benar menghasilkan perubahan kepada kumpulan sasar.
Perkara 153: Hak yang perlu difahami dan dimanfaatkan
Kepada seluruh anak bangsa, sama ada dalam kerajaan mahupun di luar kerajaan, MPM menyeru supaya Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan difahami secara mendalam dan dilihat sebagai asas penting dalam usaha memperkukuh kedudukan Bumiputera.
Hak dan tanggungjawab yang termaktub dalam Perlembagaan perlu difahami, dihormati serta dilaksanakan melalui dasar yang berkesan dan berterusan.
Mengapa peluang dan peruntukan yang tersedia tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk membina keupayaan ekonomi Bumiputera?
Perkara 153 tidak seharusnya dilihat sebagai tongkat untuk Bumiputera terus bergantung kepada bantuan. Sebaliknya, ia perlu menjadi salah satu landasan untuk membina peluang, memperkukuh keupayaan dan membolehkan Bumiputera berdiri lebih teguh dalam ekonomi negara.
Akhirnya, kejayaan agenda Bumiputera tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah peruntukan yang diumumkan semata-mata, tetapi melalui peningkatan pendapatan, pemilikan perniagaan, peluang pekerjaan berkualiti dan mobiliti sosial yang benar-benar dirasai rakyat.
Sudah tiba masanya jaminan Perlembagaan diterjemahkan kepada pengupayaan ekonomi yang nyata.
*Penulis adalah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)





