BEKAS Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli selesai memberi keterangan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini selepas lebih dua jam hadir bagi membantu siasatan berhubung dua laporan polis berasingan.
Beliau berkata, siasatan pertama membabitkan ucapannya ketika ceramah di Selayang pada 20 Oktober lalu berhubung dakwaan pembayaran RM9.5 juta kepada Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan serta isu mafia korporat.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, satu lagi siasatan pula berkaitan isu pemilikan saham bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang dibangkitkan pada Mac lalu.
Menurut Rafizi, kes berkaitan ucapannya di Selayang disiasat mengikut Seksyen 500 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan, manakala laporan berhubung isu saham Azam disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau memberitahu, proses memberi keterangan berjalan lancar, namun enggan mengulas lanjut mengenai perkara yang dibangkitkan sepanjang sesi berkenaan.
“Saya memang tak boleh nak ulas secara terperinci siasatan kerana bila sudah diambil keterangan, maka itu dah jadi bahan bukti dan juga bahan keterangan oleh pasukan penyiasat,” katanya ketika ditemui media di luar Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Rafizi tiba di ibu pejabat polis itu kira-kira jam 10.57 pagi bersama tiga peguamnya, Nik Zarith Nik Mustapha, Adi Zulkarnain Zulkafli dan Wan Ahmad Qushairi Adzmi sebelum meninggalkan lokasi berkenaan pada jam 1.05 petang.




