HAFIDZ Othman dilantik sebagai Komisioner Jeneral Penjara yang baharu berkuat kuasa 5 November ini, selepas lebih tiga dekad berkhidmat dalam Jabatan Penjara Malaysia.
Jabatan Penjara Malaysia dalam kenyataan memaklumkan watikah pelantikan beliau disampaikan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
“Hafidz merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan memulakan kerjaya sebagai pegawai penjara dengan memegang jawatan Timbalan Penguasa di Penjara Miri, Sarawak.
“Sepanjang 32 tahun perkhidmatan, beliau pernah memegang beberapa jawatan kanan termasuk Pengarah Penjara Seremban dan Pengarah Penjara Negeri Sembilan,” kata kenyataan itu hari ini.
Beliau turut pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa dan Pemindahan Banduan serta Pengarah Bahagian Korektif Jabatan Penjara Malaysia.
Menurut jabatan itu, pengalaman, kemahiran dan kepimpinan Hafidz diyakini mampu memperkukuh perkhidmatan korektif agensi berkenaan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI serta agenda reformasi perkhidmatan awam.





