AADK lancar strategi antirasuah lima tahun, perkukuh integriti warga kerja

AGENSI Antidadah Kebangsaan (AADK) melancarkan Strategi Pembanterasan Rasuah Organisasi (OACS) 2026-2030 sebagai langkah memperkukuh tadbir urus serta menutup ruang berlakunya rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan warga kerjanya.

Peluncuran strategi itu disempurnakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azmi Kamaruzaman sempena Sambutan Hari Integriti AADK 2026 di Dewan Lata, Cyber Glass Hall di Cyberjaya hari ini.

SEKITAR majlis peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah Organisasi (OACS) 2026-2030 Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Cyberjaya hari ini. GAMBAR: SPRM

Yang turut hadir, Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Shobah Jamil; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Zainudin Abdullah dan Pengarah Integriti AADK, Ramli Ismail.

Azmi berkata, kepercayaan masyarakat, kerajaan dan rakan sekerja menjadi asas kepada kejayaan sesebuah organisasi, lebih-lebih lagi AADK yang memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan sosial negara.

Menurutnya, keberkesanan operasi agensi itu di lapangan bergantung kepada kredibiliti, integriti dan jati diri setiap warga kerjanya.

Beliau berkata, sasaran Agenda Dadah Terkawal 2030 untuk mengurangkan kadar penagihan kepada bawah 700 orang bagi setiap 100,000 penduduk sukar dicapai sekiranya aspek integriti dalaman organisasi tidak diperkukuh.

“Impian untuk mencapai sasaran ini hanya akan kekal sebagai angka di atas kertas sekiranya benteng integriti dalaman organisasi tidak diperkukuhkan,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan berkenaan hari ini.

Mengulas lanjut mengenai OACS 2026-2030, Azmi berkata, strategi itu bukan sekadar dokumen rasmi, sebaliknya menjadi panduan tadbir urus yang dirangka secara menyeluruh bagi memperkukuh usaha pencegahan rasuah.

Katanya, pelan berkenaan membolehkan organisasi mengenal pasti, menilai dan menutup ruang serta peluang yang berpotensi mendorong perlakuan rasuah atau penyalahgunaan kuasa.

Sementara itu, Ruslin merakamkan penghargaan kepada SPRM atas khidmat nasihat, pandangan dan panduan dalam membantu agensi itu memperkukuh pengurusan integriti serta usaha pencegahan rasuah.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here