MALAYSIA perlu memanfaatkan pelaburan pusat data untuk membangunkan kepakaran teknologi tempatan dan mewujudkan nilai tambah lebih tinggi dalam ekonomi digital, bukan sekadar menjadi lokasi infrastruktur pelabur asing.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kejayaan industri itu perlu diukur berdasarkan keupayaan melahirkan lebih ramai jurutera, pembangun perisian dan syarikat teknologi tempatan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Malaysia tidak seharusnya sekadar menjadi tuan rumah kepada infrastruktur digital, sebaliknya perlu muncul sebagai pencipta nilai digital,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran AWS Cloud dan Hari AI anjuran Amazon Web Services di Kuala Lumpur.
Beliau turut menyifatkan pembangunan pusat data sebagai pembinaan infrastruktur asas ekonomi digital, seumpama pembinaan lebuh raya.
“Apabila kita membina lebuh raya, ia membolehkan orang bergerak dari Kuala Lumpur ke Johor atau Kuala Lumpur ke Perlis. Begitu juga dengan teknologi. Apabila mereka membawa sesuatu penyelesaian teknologi, kita perlu menyediakan infrastrukturnya. Itulah yang sedang kita bangunkan,” katanya.
Menurut beliau, penggunaan teknologi dalam tempoh 10 tahun akan datang dijangka mengubah budaya kerja, pentadbiran kerajaan dan pengurusan komuniti, sekali gus meningkatkan kecekapan serta produktiviti.
Setakat ini, sebanyak 117 pusat data diluluskan di Malaysia dengan permintaan tenaga maksimum gabungan kira-kira 23,500 megawatt (MW), termasuk 55 yang sudah beroperasi.
Dalam tempoh enam bulan pertama 2026, projek pusat data dan pengkomputeran awan menyumbang RM95.8 bilion, hampir 44 peratus daripada keseluruhan RM218.5 bilion pelaburan diluluskan negara.
Bagaimanapun, pertumbuhan industri itu memerlukan tambahan kapasiti penjanaan elektrik bagi memenuhi permintaan tenaga tanpa menjejaskan bekalan kepada sektor lain.
Namun usaha meningkatkan kapasiti penjanaan berdepan cabaran kekurangan bekalan turbin di pasaran global, yang boleh menjejaskan perancangan pembangunan loji janakuasa baharu.
Johari berkata, Malaysia boleh memanfaatkan kedudukannya sebagai antara pengeksport gas asli terbesar dunia dengan menggunakan sebahagian sumber berkenaan untuk menjana elektrik bagi menyokong operasi pusat data.
Pada masa sama, kerajaan turut merancakkan pembangunan sumber tenaga alternatif termasuk solar, hidro dan sistem penyimpanan tenaga bateri.





