HARGA runcit petrol RON97 tanpa subsidi turun 20 sen kepada RM4.70 seliter, manakala RON95 dan diesel tanpa subsidi masing-masing menyaksikan penurunan 15 sen seliter bagi tempoh 5 hingga 11 November ini.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, harga baharu RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada RM4.27 seliter, sementara diesel tanpa subsidi turun kepada RM5.12 seliter.
Menurut kementerian itu, pelarasan harga berkenaan dibuat berdasarkan formula Mekanisme Harga Automatik (APM), susulan perkembangan pasaran petroleum serantau dan antarabangsa.
“Petroleum serantau menunjukkan tanda penyederhanaan susulan peningkatan bekalan bahan api bertapis, termasuk stok petrol dan diesel di Singapura yang menjadi antara rujukan pasaran bagi penetapan harga petroleum di Malaysia.
“Perkembangan itu, bersama penurunan harga minyak mentah Brent pada penghujung tempoh pengiraan APM, memberi petunjuk kepada kemungkinan tekanan harga yang lebih rendah.
“Bagaimanapun, ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat terus memberi risiko kepada kestabilan harga petroleum dunia,” menurut kenyataan itu.
MoF turut memaklumkan, subsidi bahan api dijangka kekal tinggi sekitar RM40 bilion pada tahun hadapan seperti diumumkan dalam Belanjawan 2027 bagi membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup.
Dalam pada itu, kementerian itu memberitahu, penerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang layak akan terus menikmati harga bersubsidi RM1.99 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM4.27 seliter.
Ini bermakna kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.28 bagi setiap liter, bersamaan 53 peratus daripada harga tanpa subsidi.
Bagi penerima BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pula, harga bersubsidi kekal RM2.10 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM5.12 seliter, dengan subsidi kerajaan sebanyak RM3.02 seliter atau 59 peratus.
Harga petrol bersubsidi menerusi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) turut dikekalkan pada RM2.05 seliter, manakala diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kekal RM2.15 seliter.
MoF berkata, Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, selain memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.




