PELABURAN teknologi berskala besar perlu turut memberi manfaat kepada rakyat dan alam sekitar, termasuk memastikan kelestarian sumber asli negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi cadangan projek infrastruktur air oleh Google di Negeri Sembilan yang merangkumi pembinaan takungan air luar sungai dan loji rawatan berkeupayaan membekalkan sehingga 65 juta liter air terawat sehari.
Menurutnya, projek berkenaan bukan sahaja menyokong pembangunan digital negara, malah berpotensi memperkukuh jaminan bekalan air dan meningkatkan daya tahan alam sekitar.
Katanya, kemudahan itu juga mampu mengurangkan risiko banjir ketika musim monsun, menyediakan simpanan air mencukupi ketika musim kemarau serta memperluas akses penduduk setempat kepada bekalan air bersih.
“… apabila siap sepenuhnya, pemilikan projek akan diserahkan terus kepada kerajaan negeri untuk dijadikan aset awam kekal. Pelaburan anda mencerminkan aspirasi, menghargai sumber asli negara serta menaruh keyakinan terhadap keupayaan rakyat kami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Google Mantap Malaysia Bersama AI 2026 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya di Kuala Lumpur hari ini, lapor Bernama.
Inisiatif itu turut selari dengan komitmen Google untuk mengembalikan sumber air tawar ke kawasan tadahan tempatan dalam jumlah melebihi penggunaan air bagi operasi syarikat berkenaan.
Sebelum ini, Google mengumumkan pelaburan AS$15 bilion di Malaysia bagi tempoh 2027 hingga 2028 untuk memperluas infrastruktur digitalnya, termasuk pembangunan kampus pusat data di Selangor dan Negeri Sembilan.
Pelaburan itu bertujuan memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan.
Selain projek di Negeri Sembilan, Google turut mengumumkan inisiatif penambahan semula sumber air yang melibatkan lembangan Sungai Buloh dan Sungai Selangor serta penubuhan pusat daya tahan air berasaskan sekolah di Selangor.
Syarikat teknologi global itu juga bekerjasama dengan Global Environment Centre (GEC) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi meningkatkan kualiti air serta memulihara biodiversiti di Tasik Taman Aman.





