KERAJAAN akan melaksanakan beberapa siri ujian tekanan membabitkan pelbagai sektor bagi menilai tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi ancaman serangan siber.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, langkah itu susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Ketua Setiausaha Negara supaya meneliti tahap kesiapsiagaan negara bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan agensi berkaitan.
Menurutnya, mesyuarat antara Ketua Setiausaha Negara dan MKN sudah diadakan, manakala beberapa siri latihan dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat bagi menguji tahap persediaan sektor terlibat.
“Mesyuarat telah diadakan oleh pihak Ketua Setiausaha Negara dan juga pihak MKN, dan saya percaya dalam masa yang tidak terlalu lama, beberapa siri latihan juga akan diadakan bagi pelbagai sektor bagi meneliti tahap kesiapsiagaan.
“Kementerian Komunikasi juga telah diberi tugasan untuk pertama, melihat kepada tahap keselamatan siber bagi rangkaian telekomunikasi termasuk penyiaran negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat Bazar Mega Deepavali Brickfields di Kuala Lumpur hari ini, lapor Buletin TV3.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, penelitian itu turut merangkumi kemungkinan penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk melancarkan serangan yang boleh menjejaskan rantaian bekalan negara.
Katanya, jika sebelum ini kerajaan memberi tumpuan kepada kesan ekonomi susulan krisis dan konflik di Asia Barat menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara, perhatian kini turut diberikan kepada aspek keselamatan dan kesiapsiagaan negara.
“Sebelum ini sewaktu krisis dan perang di Asia Barat, kita memberi fokus kepada aspek ekonomi melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara.
“Namun sekarang, kita beri lebih banyak fokus kepada bukan hanya isu rantaian bekalan, tetapi juga keterjaminan makanan dan memastikan apa-apa perkara yang perlu diteliti, disiap siagakan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut meneliti potensi memperluas fungsi Sistem Amaran Awal supaya dapat dimanfaatkan sebagai saluran penyampaian maklumat rasmi kerajaan secara terus ke telefon bimbit rakyat.





