Dua lelaki didakwa dalam kes penipuan, dokumen palsu import kosmetik

DUA lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Georgetown hari ini dalam dua kes berasingan membabitkan penipuan dan penggunaan dokumen palsu berkaitan pengisytiharan barangan import kosmetik milik sebuah syarikat.

Dalam kes pertama, Zul Akmal Ab Suhukor, 52, didakwa memperdaya seorang pengurus syarikat kosmetik berusia 26 tahun sehingga mendorong mangsa memindahkan wang RM13,000 ke akaun bank syarikat First Global Freight & Logistics miliknya.

Wang itu didakwa diminta sebagai bayaran kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi mengurangkan cukai barangan import kosmetik.

Kesalahan itu didakwa berlaku antara Ogos hingga September 2024 di sebuah pejabat di Menara Northam, Jalan Sultan Ahmad Shah, lapor Bernama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Atikah Ab Rashid menawarkan jaminan RM30,000 dengan syarat pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam K Mahendran yang dibantu M Sharmila memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya bekerja sebagai pengurus pejabat bergaji RM2,500 sebulan, selain mempunyai tiga anak dan isteri yang tidak bekerja.

Hakim Irwan Suainbon kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Sementara itu, dalam kes berasingan di hadapan hakim sama, Sarudin Daud, 53, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu berkaitan pengisytiharan barangan import kosmetik syarikat berkenaan.

Dia didakwa menggunakan sebagai tulen Borang Perisytiharan Barang-Barang Yang Diimport bertarikh 12 September 2024 dalam Sistem Maklumat Kastam JKDM, yang mengandungi maklumat tidak benar sehingga menyebabkan jumlah cukai berkurangan daripada RM55,632.19 kepada RM25,850.15.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 12 September 2024 di lokasi sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Sarudin diikat jamin RM10,000 dengan syarat menyerahkan pasportnya selepas peguam, Mahendran memaklumkan anak guamnya bekerja sebagai pegawai eksekutif bergaji RM1,800 sebulan, mempunyai tiga anak dan merupakan penanggung utama keluarga.

Kedua-dua kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 Disember depan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here