SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mengulangi desakan agar Putrajaya mendedahkan syarat-syarat Perjanjian Kepercayaan dan Pembekalan (CSA) dengan 13 Ahli Parlimen Bersatu serta bebas.
Merujuk kepada memorandum persefahaman (MoU) sebelum ini semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beliau menekankan bahawa butiran perjanjiian itu pada waktu berkenaan sedia diakses oleh orang ramai.
“Kandungan utama dalam MoU antara kerajaan persekutuan dan PH yang ditandatangani pada 13 Sept 2021, adalah ‘tidak ada kerahsiaan’. Dengan ini (pihak-pihak) bersetuju mendedahkan MoU itu sepenuhnya kepada umum sebagai komitmen ke arah keterbukaan dan akuntabiliti penuh.
“Justeru, kita mahu tahu sama ada (butiran) CSA yang ditandatangani pada 31 Okt baru-baru ini sudah diumumkan kepada umum,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu pada sidang media di Parlimen hari ini, lapor Malaysiakini.
Menurut Takiyuddin, sekiranya pendedahan sedemikian tidak terpakai buat CSA semasa, persoalan akan terus berbangkit mengenai butirannya, termasuk berhubung peruntukan yang diterima oleh anggota parlimen pembangkang dan bebas yang menandatangani perjanjian itu dengan kerajaan.
Di bawah CSA sedia ada, kerajaan dikehendaki membentangkan dua pindaan Perlembagaan — satu mengenai had tempoh jawatan perdana menteri dan satu lagi untuk memisahkan peranan peguam negara dan pendakwa raya.
Sebagai balasan, Ahli Parlimen pembangkang dan bebas yang terlibat akan menyokong Bajet 2027 dan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sehingga tamat penggal parlimen semasa, dengan janji menerima peruntukan pembangunan kawasan mereka.
Semalam, Ahli Parlimen Bersatu Datuk Seri Radzi Jidin, yang merupakan antara 13 anggota parlimen yang menandatangani CSA itu, turut mendesak agar perjanjian berkenaan didedahkan kepada umum.
Ahli Parlimen Putrajaya itu menekankan bahawa CSA berkenaan ditandatangani demi kesejahteraan negara dan kepentingan terbaik rakyat, berikutan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang menyamakan perjanjian itu seperti pendekatan dajal.
Mengambil maklum bahawa Ahli Parlimen pembangkang lain tidak ditawarkan untuk mengambil bahagian dalam CSA tersebut, Takiyuddin hari ini juga merujuk kepada draf MoU bertarikh 1 Ogos 2024 mengenai peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang yang disediakan oleh kerajaan sebelum ini.
“Dalam draf ini, ia (memperincikan) keterbukaan, ketelusan dan kerahsiaan, (menyatakan) bahawa jika memorandum ini ditandatangani, ia akan dipaparkan kepada umum.
“Memandangkan kita, pihak pembangkang, menolak (draf tersebut), apa yang kita mahu tahu dan minta dedahkan apa yang ditandatangani pada 31 Okt baru-baru ini,” katanya.
Beliau seterusnya meminta penjelasan mengenai jumlah peruntukan yang bakal diterima oleh anggota parlimen pembangkang dan bebas di bawah CSA tersebut, mekanisme yang bakal digunakan untuk menyalurkan dana berkenaan, serta bilakah pelaksanaannya akan berlaku.
Perikatan Nasional sebelum ini menolak draf MoU berkenaan, dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, mendakwa ketika itu bahawa cadangan perjanjian tersebut berpotensi menjejaskan beberapa peruntukan undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan.





