Sindiket palsukan cap keselamatan imigresen, tiga individu ditahan

TIGA individu termasuk dua wanita warga Thailand ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana disyaki terbabit dalam sindiket pemalsuan cap keselamatan endosmen imigresen yang dipercayai mampu mengaut keuntungan sehingga RM15,000 sebulan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, ketiga-tiga suspek terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan dua wanita warga Thailand berusia antara 40 hingga 45 tahun.

Beliau berkata, mereka ditahan dalam operasi khas di dua lokasi sekitar Kajang, Selangor dan Pandan Perdana, Kuala Lumpur pada 3 November lalu, hasil risikan selama sebulan.

“Modus operandi sindiket adalah dengan memalsukan cap keselamatan endosmen imigresen yang dikeluarkan di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI) bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Sindiket menyasarkan warga asing yang berada di negara ini tanpa pas sah atau telah tinggal lebih masa, khususnya warga Thailand,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sindiket dipercayai mempromosikan perkhidmatan itu menerusi aplikasi WhatsApp dengan mengenakan bayaran antara RM70 hingga RM100 bagi setiap cap palsu yang diturunkan pada pasport pelanggan.

Katanya, pelanggan hanya perlu menghantar pasport tanpa perlu bersemuka bagi mengelakkan identiti mereka dikesan.

“Terdapat juga kemungkinan pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan ini tidak menyedari bahawa cap keselamatan yang tertera pada pasport mereka adalah palsu,” katanya.

Dalam operasi itu, Imigresen merampas dua unit cap keselamatan endosmen Pas Lawatan palsu, satu unit cap keselamatan endosmen keluar palsu, dua keping getah cap keselamatan palsu, dua unit cap tarikh, lima pad dakwat merah dan biru serta enam pasport Thailand.

Turut dirampas sebuah Pas Sempadan Thailand, lima telefon bimbit, dua buku catatan dan kunci premis.

“Semakan awal mendapati seorang wanita warga Thailand memiliki Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang sebagai pasangan kepada warganegara Malaysia, manakala seorang lagi memiliki Pas Lawatan Sosial.

“Seorang lelaki tempatan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 56(1A)(c), manakala dua wanita warga Thailand disiasat mengikut Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Zakaria berkata, kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here