Rosmah tidak tahu-menahu dakwaan Najib bayar denda RM50 juta

DATIN Seri Rosmah Mansor mengakui tidak mengetahui dakwaan bahawa suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak, telah menjelaskan denda RM50 juta bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah dalam kes SRC International.

Sebaliknya, isteri bekas Perdana Menteri itu berkata, kehadirannya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini adalah bagi menghadiri prosiding berkaitan kes solar hibrid yang dihadapinya.

Ketika ditanya mengenai laporan Utusan Malaysia berhubung kehadiran dua wakil Najib ke mahkamah bagi tujuan menjelaskan denda berkenaan, Rosmah menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenainya.

LAPORAN Utusan Malaysia yang dipersoalkan Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pembayaran RM50 juta bagi membolehkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani perintah tahanan di rumah

“Siapa dia wakil yang datang bayar itu? Kamu semua tahu, patut beritahu saya sebab saya nak tahu.

“Mereka lebih tahu, kemudian menarik balik laporan berita tersebut, rupanya tak betul.

“Saya tidak tahu, keluarga juga tidak dimaklumkan mengenainya,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Baru-baru ini media melaporkan Najib dijangka melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah, dengan pembayaran itu dikatakan akan dibuat oleh wakilnya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menafikan laporan berkenaan dan menjelaskan kutipan sumbangan menerusi Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan parti itu masih belum mencukupi untuk mencapai sasaran RM50 juta. Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah terkini dana yang berjaya dikumpulkan setakat ini.

Untuk rekod, Najib sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International. Bagaimanapun, Lembaga Pengampunan pada 29 Januari 2024 mengurangkan hukuman penjara kepada enam tahun dan denda RM50 juta.

Pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan syarat ditetapkan.

Bagaimanapun, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar pada 1 November lalu mengesahkan Najib masih belum menjelaskan denda berkenaan dan tiada tempoh khusus ditetapkan untuk pembayaran itu.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here