PERMOHONAN Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengemukakan keterangan tambahan dalam rayuannya terhadap sabitan kes rasuah projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion masih tertangguh sementara menunggu keputusan rayuan pihak pendakwaan di Mahkamah Persekutuan.
Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 14 Januari depan sebagai tarikh pengurusan kes seterusnya bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung prosiding berkenaan.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin menetapkan tarikh itu selepas dimaklumkan bahawa alasan penghakiman Mahkamah Rayuan masih belum diperoleh untuk melengkapkan rekod rayuan pihak pendakwaan di Mahkamah Persekutuan.
Peguam yang mewakili Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, Mahkamah Rayuan turut menetapkan 25 November ini bagi pengurusan kes untuk mengetahui perkembangan terkini, selain tarikh sebutan pada 3 Disember depan.
“Kami masih belum bersedia,” katanya ketika memohon penangguhan bagi memberi ruang kepada prosiding di Mahkamah Persekutuan diselesaikan terlebih dahulu, lapor BH.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam turut mengesahkan pihak pendakwaan masih menunggu alasan penghakiman berkenaan.
Pada 1 September lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Rosmah untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuannya terhadap sabitan dan hukuman bagi kes rasuah projek solar hibrid berkenaan.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Azhahari Kamal Ramli memerintahkan keterangan tambahan saksi pendakwaan, Rayyan Radzwill Abdullah, direkodkan di hadapan seorang hakim Mahkamah Tinggi.
Keterangan itu membabitkan laporan polis dan akuan berkanun yang dibuat Rayyan, yang mendakwa menerima tekanan daripada pihak pendakwaan sepanjang perbicaraan kes berkenaan.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan mencabar keputusan itu dengan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan pada 4 September lalu.
Pada 17 September lalu, Mahkamah Rayuan turut membenarkan permohonan pendakwaan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah merekodkan keterangan tambahan itu sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan diputuskan.
Untuk rekod, Rosmah pada 1 September 2022 disabitkan atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion bagi membekalkan tenaga elektrik kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Beliau didapati bersalah meminta suapan RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, menerusi bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor.
Suapan itu sebagai dorongan untuk membantu Jepak Holdings mendapatkan projek berkenaan daripada Kementerian Pendidikan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan, yang berjalan serentak, serta denda RM970 juta terhadap Rosmah.
Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu penyelesaian rayuannya terhadap sabitan dan hukuman berkenaan.





