KEMENANGAN Parti Demokrat dalam pilihan raya Presiden di Amerika Syarikat (AS) sering kali mencetuskan tanda tanya apabila turut diraikan oleh sebahagian penyokong Pas dan UMNO di Malaysia.
Keadaan ini kelihatan janggal memandangkan kedua-dua parti tempatan itu mempunyai kecenderungan konservatif yang dalam beberapa aspek dasar mempunyai persamaan dengan Parti Republikan.
Perkembangan tersebut turut menarik perhatian pengkaji politik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim yang sebelum ini dilaporkan mengulas, “Republicans sini gembira democrat sana menang. Politik semakin aneh.”

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mazlan Ali ketika ditanya mengenai perkara itu berkata, sokongan daripada penyokong parti tempatan itu bukan bermaksud mereka menerima prinsip progresif atau liberal yang dibawa oleh Parti Demokrat.
Sebaliknya, kata beliau, ia adalah manifestasi penolakan terhadap kejatuhan pihak Republikan yang sering dilihat sebagai entiti yang amat anti-Islam dan pro-Israel.
“Sokongan orang Pas dan UMNO itu sebenarnya bukan bermaksud mereka menerima prinsip liberal ataupun progresif dari Demokrat, tetapi manifestasi tumbangnya Republikan itu dilihat sebagai satu entiti yang sangat anti-Islam dan sangat pro pada Israel,” jelas Mazlan kepada utusanmelayuplus hari ini.

Beliau yang juga Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur berkata, daripada sudut perbandingan ideologi, Pas, UMNO dan Republikan sememangnya mempunyai beberapa persamaan kerana ketiga-tiganya membina kekuatan berasaskan segmen demografi kaum dan agama.
Menurutnya, parti Republikan di Amerika Syarikat memberi penekanan kepada kelompok kulit putih serta budaya Kristian, manakala Pas dan UMNO berpaksikan kepada teras Melayu-Islam dan institusi tradisi.
Walau bagaimanapun, Mazlan menjelaskan bahawa perbezaan ketara tetap wujud, terutamanya dalam aspek pegangan terhadap dasar luar negara dan isu kemanusiaan global.
“Perbandingan itu cuma dari sudut agama dan kaum. Melayu Pas dan UMNO ini teras Melayu-Islam, sementara Republikan teras pada kulit putih, Anglo-Saxon dan juga agama Kristian, Judeo-Christian yang pro kepada Israel itu sahaja,” ujar beliau.
Dalam landskap politik Amerika, kelompok nasionalis kulit putih dan gerakan antiimigran sering dikaitkan dengan sayap kanan ekstrem Republikan.
Tambahnya, di Malaysia, Pas dan UMNO tegas mempertahankan agenda Melayu-Islam, sementara dasar pentadbiran Donald Trump sebelum ini kerap dikritik kerana retorik yang menjejaskan imej masyarakat Islam serta menyokong perpindahan kedutaan ke Baitulmaqdis.
Sebaliknya, kata Mazlan, penyokong Pas dan UMNO melihat Parti Demokrat walaupun membawa agenda yang lebih liberal sebagai pilihan yang kurang mudarat berbanding dasar keras Republikan.
“Parti Demokrat didapati lebih terbuka terhadap isu kaum minoriti serta masyarakat Islam, yang turut dibuktikan melalui kemunculan tokoh-tokoh politik Muslim di peringkat arus perdana Amerika.
“Ada kemungkinan kuat di situ adalah sentimen berkait isu Palestin kerana semasa pentadbiran Trump penggal pertama dulu telah pun sebenarnya menyokong perpindahan kedutaan Amerika Syarikat ke Baitulmaqdis,” tambah beliau.
Istilah liberal dalam konteks sains politik antarabangsa sering kali disalah tafsir, namun bagi pengundi tempatan, sokongan ini lebih didorong oleh faktor sentimen moral, emosi keagamaan, serta persepsi ancaman berbanding garis panduan ideologi yang ketat.
Kegembiraan sebahagian penyokong Pas dan UMNO ini jelas dipengaruhi oleh penolakan terhadap dasar pentadbiran Trump dan isu Palestin.
Beliau menambah, pemerhatian tersebut memperlihatkan bahawa wacana politik awam di Malaysia masih cenderung melihat isu antarabangsa secara hitam putih.
Pengundi didapati sanggup mengetepikan perbezaan ideologi demi menyokong mana-mana pihak luar yang dirasakan selari dengan sentimen keagamaan dan kepentingan ummah.
“Wacana politik awam di Malaysia masih cenderung melihat isu antarabangsa secara hitam putihlah tanpa memahami realiti real politic dan kesinambungan dasar luar sesebuah negara,” ujar Mazlan.





