PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menafikan dakwaan beliau berhasrat mengambil alih jawatan Menteri Besar daripada Datuk Ismail Lasim, termasuk merancang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap pemimpin itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.
Sebaliknya, Ahli Parlimen Jelebu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang itu menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai cubaan pihak tertentu untuk mencetuskan perselisihan dalam kalangan kepemimpinan negeri.
Beliau menegaskan perkara itu tidak pernah dibincangkan atau dirancang, malah sudah menjelaskan kedudukan sebenar dalam mesyuarat UMNO negeri yang dipengerusikannya hari ini.
“Tidak benar dakwaan itu (nak ambil alih jawatan MB). Kamu ada dengar ke saya nak jatuhkan YAB Menteri Besar. Saya sudah jelaskan dalam mesyuarat tadi bahawa perkara itu tidak benar sama sekali walaupun sehingga pagi ini masih ada lagi pihak yang mengatakan kita akan buat usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar.
“Tidak ada, cerita ini daripada mana, jangan ada unsur-unsur atau cubaan untuk melaga-lagakan pemimpin,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan di Wisma UMNO di Seremban hari ini, lapor BH.
Menurut Jalaluddin, keutamaan beliau adalah memastikan kestabilan politik negeri terus diperkukuhkan, manakala Ismail perlu memberikan tumpuan kepada tanggungjawab mentadbir kerajaan negeri.
“Tugas saya adalah untuk memastikan kestabilan politik di negeri ini dapat diperkukuhkan dari masa ke semasa manakala tugas Menteri Besar ialah untuk meneruskan urus tadbir kerajaan negeri,” katanya.
Mesyuarat kira-kira dua jam bermula 10.30 pagi itu dihadiri 25 ADUN Barisan Nasional (BN), termasuk Ismail, selain semua ahli jawatankuasa UMNO negeri dan ketua bahagian.
Mengulas krisis adat dan Perlembagaan yang masih belum menemui penyelesaian, Jalaluddin berkata, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan Ismail.
Beliau turut menolak dakwaan wujud perpecahan dalam BN negeri, termasuk persepsi mengenai kewujudan kem yang dikaitkan dengan dirinya dan Menteri Besar.
“Sebenarnya tiada kem mana-mana, tiada perpecahan dalam kalangan pemimpin (BN), kita hanya menjurus kepada tugas dan tanggungjawab hasil mandat yang telah diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Ogos lalu,” katanya.
Jalaluddin menegaskan, tumpuan kepimpinan negeri ketika ini adalah memastikan pentadbiran berjalan lancar demi kepentingan rakyat serta pembangunan Negeri Sembilan.
Ismail yang juga ADUN Juasseh malam tadi menyifatkan dakwaan beliau bakal digantikan Jalaluddin sebagai Menteri Besar hanya spekulasi, sambil menegaskan masih menjalankan tugas seperti biasa.




