PENGIKTIRAFAN di peringkat antarabangsa menjadi pencapaian baharu buat Malaysia apabila Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC), Datuk Zaiton Mohd Hassan, dilantik sebagai Presiden Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).
Pelantikan itu turut mencatat sejarah apabila beliau menjadi individu Melayu pertama menerajui badan perakaunan profesional global yang mempunyai lebih 266,000 ahli dan 546,000 bakal ahli di 179 negara.
MyPAC dalam satu kenyataan berkata, pelantikan berkenaan mencerminkan pengiktirafan terhadap kepimpinan, pengalaman luas serta sumbangan Zaiton dalam memperkukuh profesion perakaunan dan memperluas akses kepada pendidikan serta peluang kerjaya dalam bidang itu.
Zaiton sebelum ini dipilih menganggotai Majlis ACCA pada 2016 sebelum diberi kepercayaan memegang jawatan Naib Presiden dan Timbalan Presiden.
Sepanjang penglibatannya, beliau turut menjalin kerjasama dengan ahli ACCA di rantau Asia Pasifik serta peringkat global bagi memperkukuh pembangunan profesion berkenaan.
Pengalaman profesional beliau bermula di PricewaterhouseCoopers (PwC), selain terbabit dalam penubuhan sebuah agensi penarafan kredit nasional.
Beliau kini turut menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi GX Bank serta memegang beberapa jawatan lembaga pengarah dan peranan penasihat dalam bidang tadbir urus serta pembangunan profesional.
Di MyPAC, Zaiton memberi tumpuan kepada usaha memperluas peluang golongan muda, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah, untuk menceburi bidang perakaunan profesional.
Organisasi bukan berasaskan keuntungan itu turut memainkan peranan melahirkan lebih ramai akauntan profesional Bumiputera menerusi akses pendidikan dan latihan yang lebih inklusif.
Mengulas pelantikannya, Zaiton menyifatkan kepercayaan diberikan itu sebagai penghormatan besar memandangkan ACCA banyak membentuk perjalanan hidup dan kerjayanya.
“Saya memilih profesion ini kerana ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang sanggup berusaha, tanpa mengira latar belakang, dan saya telah menyaksikan sendiri bagaimana profesion ini mampu mengubah kehidupan individu serta komuniti,” katanya.
Beliau berkata, pembaharuan kelayakan profesional ACCA yang dijadual diperkenalkan pada pertengahan 2027 akan terus mengekalkan prinsip keterbukaan akses, selain menyesuaikan pendidikan perakaunan dengan keperluan semasa.
“Nilai berkenaan terletak pada pertimbangan profesional, wawasan dan etika yang hanya mampu dibawa oleh manusia,” katanya.
Menurutnya, perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan agenda kelestarian turut mengubah landskap profesion perakaunan, sekali gus menuntut akauntan memainkan peranan lebih strategik dalam organisasi dan ekonomi global.
“Dunia memerlukan akauntan lebih daripada sebelumnya, sebagai pemudah cara teknologi baharu, peneraju perniagaan mampan dan penggerak nilai sosial. Profesion perakaunan sedang berkembang dengan cara yang amat menarik,” katanya.
Sejak ditubuhkan pada Januari 2015, MyPAC berjaya melahirkan lebih 1,300 graduan dan 56 pemenang anugerah peringkat dunia.
Organisasi itu turut merekodkan kadar kelulusan sebanyak 70 peratus, mengatasi purata global 47 peratus.
MyPAC yakin pelantikan Zaiton akan memperkukuh usaha melahirkan lebih ramai akauntan profesional yang berdaya saing dan berintegriti, selain membuka ruang lebih luas kepada masyarakat untuk mendapatkan pendidikan perakaunan tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.





