PRN Melaka: PH tawar geran perniagaan wanita, tambah pusat penjagaan kanak-kanak

PAKATAN Harapan (PH) mengetengahkan beberapa inisiatif bagi memperkasa golongan wanita di Melaka, termasuk menyediakan geran khas perniagaan dan menambah pusat penjagaan kanak-kanak kerajaan dalam tawaran sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Selain itu, gabungan berkenaan turut memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kerenah birokrasi menerusi penggunaan teknologi bagi memudahkan urusan rakyat dengan agensi kerajaan.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, berkata inisiatif berkenaan bertujuan memperluas peluang ekonomi wanita, membantu mereka mengimbangi tanggungjawab keluarga dan pekerjaan, selain meningkatkan kestabilan ekonomi isi rumah.

Beliau berkata, usaha memperkasa wanita menjadi antara keutamaan PH mengambil kira jumlah pengundi wanita di Melaka yang tinggi dan hampir seimbang dengan pengundi lelaki.

Menurutnya, geran khas perniagaan itu dicadangkan bagi membantu usahawan wanita, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (IKS), mengembangkan operasi serta meningkatkan kapasiti perniagaan masing-masing.

“Geran khas ini perlu mengambil kira keperluan sebenar usahawan wanita seperti pembelian peralatan, menambah stok dan meningkatkan kapasiti pengeluaran hasil.

“Pada masa sama, sokongan latihan pengurusan kos dan pemasaran juga penting bagi membantu mereka membina perniagaan lebih kukuh serta mempunyai pelanggan berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian sempena kempen PRN Melaka di Bilik Gerakan Utama PH di Bukit Katil hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong.

Dalam usaha menyokong wanita berkerjaya pula, Adly berkata, PH mencadangkan penambahan pusat penjagaan kanak-kanak kerajaan bagi membantu ibu bapa, khususnya golongan ibu, menguruskan tanggungjawab pekerjaan dan keluarga dengan lebih baik.

Katanya, aspek lokasi, kadar bayaran, waktu operasi serta keselamatan perlu diberi perhatian supaya kemudahan berkenaan memenuhi keperluan ibu bapa, termasuk mereka yang bekerja mengikut syif.

“Geran perniagaan dan penjagaan anak yang dipercayai saling melengkapi dan membantu wanita meneruskan kerjaya,” katanya.

Mengulas pendekatan menangani birokrasi, Adly berkata, PH turut menawarkan penyelesaian berasaskan penggunaan teknologi bagi mempercepatkan urusan rakyat dengan kerajaan.

“Kita memberikan suatu alternatif kepada rakyat Melaka melalui penyelesaian kepada masa depan terutamanya dalam isu membabitkan birokrasi,” katanya.

Beliau berkata, kemajuan teknologi berupaya mempermudah pelbagai urusan dengan agensi kerajaan, sekali gus membolehkan rakyat menikmati perkhidmatan lebih cekap dan pantas.

Katanya, isu birokrasi perlu ditangani secara menyeluruh kerana keperluan rakyat bukan hanya tertumpu kepada aspek kebajikan, malah turut merangkumi peluang ekonomi dan usaha meningkatkan taraf kehidupan.

Kesemua tawaran berkenaan adalah antara aspirasi yang digariskan dalam manifesto PH, Melaka Rumah Kita, yang mengandungi tiga teras dan 12 aspirasi sebagai hala tuju gabungan itu dalam membawa pembangunan serta kesejahteraan kepada rakyat negeri ini.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here