Wanita dipenjara tiga bulan sembunyi kelahiran, buang mayat bayi dalam longkang

SEORANG pembantu kedai makan dihukum penjara tiga bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Hulu Terengganu hari ini selepas mengaku bersalah menyembunyikan kelahiran bayi dengan membuang mayatnya ke dalam longkang, bulan lalu.

Majistret Nur Athirah Hashim menjatuhkan hukuman itu terhadap Nur Ain Adilin Mohd Rofiza, 23, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan lima bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Tempoh hukuman penjara itu juga diperintahkan bermula dari tarikh tangkap tertuduh, lapor Harian Metro.

Mengikut pertuduhan, wanita berkenaan didakwa dengan sengaja menyembunyikan kelahiran bayi dengan cara membuang mayatnya ke dalam longkang di Perumahan Awam Kos Rendah Padang Setengge, Kuala Berang kira-kira jam 10 malam, 15 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, kejadian terbongkar selepas polis menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memaklumkan penemuan mayat bayi di dalam longkang di kawasan perumahan berkenaan pada petang 16 Oktober lalu.

Susulan laporan itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu menjalankan siasatan sebelum menahan tertuduh di sebuah kios di tepi jalan besar Kampung Telaga pada 17 Oktober.

Siasatan lanjut mendapati wanita itu dipercayai sengaja menyembunyikan kelahiran bayi berkenaan dengan membuang mayatnya ke dalam longkang.

Mayat bayi kemudian dibedah siasat, manakala sampel asid deoksiribonukleik (DNA) dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Anith Nabilah Rusli manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nor Aziah Bunawan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here