Gesa bubar Parlimen: Apakah Zahid mahu ulangi episod 2021,2022? – soal Pemuda PKR Johor

KETUA Pemuda PKR Johor Faezuddin Puad membidas cadangan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya Parlimen dibubarkan.

Dalam satu kenyataan beliau berkata, kenyataan Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menimbulkan persoalan kerana bercanggah dengan kenyataan sebelum ini untuk mempertahankan kerajaan perpaduan sehingga tamat penggal, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

Faezuddin Puad

“Belum lama dahulu, Ahmad Zahid bercakap soal menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong akan mempertahankan Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal. Sekarang lain pula bunyinya. Minta bubar,” katanya.

Semalam, Ahmad Zahid mencadangkan supaya Parlimen dibubarkan bagi mendapatkan mandat baharu daripada rakyat, berbanding melakukan rombakan Jemaah Menteri.

Ahmad Zahid mengulas kemungkinan rombakan Jemaah Menteri susulan perkembangan membabitkan beberapa anggota pentadbiran kerajaan.

Faezuddin turut mengingatkan Ahmad Zahid mengenai tindakan UMNO  menarik sokongan terhadap pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Julai 2021, sebelum mendesak Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen pada 2022.

“Apakah sekarang Zahid mahu mengulangi episod yang sama?” soalnya.

Beliau memberi amaran kenyataan sedemikian boleh menimbulkan keresahan, menggugat kestabilan negara dan menjejaskan keyakinan pelabur sehingga akhirnya merugikan rakyat.

Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kini berusaha memulihkan ekonomi, menarik pelaburan dan melaksanakan pelbagai reformasi, namun terpaksa berdepan percaturan politik dalam kerajaan sendiri.

“Janganlah kerana Zahid dan Umno pentingkan percaturan politik, segala usaha dan pencapaian telah dibina kerajaan Madani menjadi sia-sia,” katanya.

Faezuddin turut menggesa semua pihak memberi ruang kepada Anwar menumpukan perhatian kepada pentadbiran negara.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here